Buat ‘wheelie’ lepas hantar juadah buka puasa

Kota Bharu: Aksi ‘wheelie’ yang dilakukan seorang lelaki lengkap berbaju Melayu di Jalan Pangkal Kala, Pasir Mas, dekat sini memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia 23 tahun itu baru selesai membuat penghantaran makanan untuk berbuka puasa kepada pelanggan dari kedai makan yang diusahakan ibunya.

Turut ditemukan bersama lelaki itu adalah sebiji pil kuda yang dibungkus dalam kerajang aluminum dan disimpan dalam kotak rokok.



Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, tangkapan dibuat pada 6.30 petang dalam Op Samseng Jalanan.

“Ketika pemantauan dibuat di sekitar Jalan Pangkal Kala menghala ke Gelang Mas, seorang penunggang dikesan melakukan aksi ‘wheelie’ dengan mengangkat tayar hadapan motosikal.

“Pasukan tangkapan berjaya menahannya di Jalan Bechah Semak dan pemeriksaan di tubuh lelaki itu menemui sekotak rokok di mana di dalamnya terdapat satu kerajang aluminium mengandungi sebiji pil kuda,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Shuhaimi berkata, lelaki itu bersama motosikal Honda C70 miliknya dibawa ke Balai Trafik Pasir Mas untuk tindakan lanjut.



“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Dalam operasi bermula 5 petang hingga 10 malam itu, sebanyak 35 motosikal diperiksa dengan 29 saman dikeluarkan.

Kesalahan yang paling banyak dikesan adalah tidak memakai topi keledar iaitu 10 saman diikuti sembilan kes tiada lesen memandu.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button