Johor optimis dapat muncul juara keseluruhan SUKMA



KUALA LUMPUR – Kontinjen Johor optimis mampu muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) buat kali pertama pada edisi ke-20 kali ini sekiranya atlet mengekalkan momentum dalam misi memburu lebih 50 pingat emas.

Ketua kontinjen Johor, Datuk Mohamad Najib Samuri, berkata sukan kanu, berbasikal trek, tinju dan menembak menjadi antara prospek utama bagi menjelmakan kilauan emas sekali gus kekal mendahului carta kedudukan pingat sehingga temasya berakhir pada 24 September ini.

“Sasaran awal kita adalah 40 pingat emas, namun Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi melontarkan cabaran untuk kita sekurang-kurangnya meraih 50 emas. Kita mendapat banyak pingat yang tidak dijangka.

“Jika kita capai 40 emas, kita boleh berada dalam ‘top five’, jika lebih 40 boleh capai ‘top three’ dan sekiranya lebih 50 emas, kita boleh muncul juara. Kanu dijangka menjadi penyumbang emas utama dengan sasaran 14 emas,” katanya dalam satu sidang media di sini, malam tadi.



Setakat malam tadi, Johor mendahului senarai kutipan pingat SUKMA kali ini dengan 29 emas, 18 perak dan 14 gangsa, diikuti Sabah (13-12-11); Terengganu (12-13-10) dan Wilayah Persekutuan (10-12-18).

Najib, berkata prestasi cemerlang dipamerkan atlet Johor pada temasya kali ini adalah disebabkan persiapan rapi yang dilakukan sejak empat tahun lalu selepas berakhirnya edisi 2018 di Perak dengan Johor bersedia menjadi tuan rumah pada 2020 sebelum dibatalkan susulan pandemik COVID-19.

“Sejak 2018 lagi, semua atlet, persatuan sukan negeri dan Majlis Sukan Negeri terlibat secara langsung dalam program pembangunan sukan dan saya rasa inilah hasilnya selepas usaha keras selama empat tahun ini.

“Kita juga berharap pelbagai kejayaan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam arena bola sepak, dengan yang terbaharu muncul juara Piala FA dapat memberikan tonik tambahan kepada atlet kita. Ia terutamanya bagi meraih emas bola sepak SUKMA buat pertama kali,” katanya.



Sebagai rekod, Johor tidak pernah muncul juara keseluruhan SUKMA sejak diperkenalkan pada 1986 dengan pencapaian terbaik adalah mengakhiri saingan di kedudukan kedua keseluruhan pada 1992 ketika menjadi tuan rumah dengan mengutip 20 emas.

Bagaimanapun, dari segi pencapaian pingat pula, Johor mengumpul emas terbanyak pada edisi 2010 di Melaka dengan meraih 40 emas.

Pada edisi di Perak empat tahun lalu, Johor mengakhiri saingan dengan kedudukan kesembilan selepas mengumpul 29-34-37 dengan Terengganu muncul juara buat kali kelima dengan meraih 56-51-53.

© Berita Harian 





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker