Kemalangan pertama di SUKE kerana nak ambil gambar

Kuala Lumpur: Baru saja dilancarkan pada 16 September lalu, Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi – Ulu Kelang (SUKE) merekodkan kemalangan pertama membabitkan dua kenderaan, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian jam 2.45 petang itu membabitkan seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan.

Menurutnya, punca kejadian dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu seorang lelaki berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar lebuh raya berkenaan.



“Kemudian datang motosikal jenis Suzuki dari arah belakang melanggar kereta berkenaan.

“Kemalangan menyebabkan penunggang motosikal itu mengalami kecederaan di kaki sebelum dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ini adalah kes kemalangan yang pertama berlaku di Lebuhraya SUKE sejak ia dibuka bermula 16 September lalu.

“Kes disiasat di bawah Kaedah 16 LN 166/59 iaitu halangan sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.



Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak berhenti di lorong kecemasan jika tiada sebarang perkara keperluan atau kecemasan.

“Selain itu, tindakan individu sewenang-wenangnya berhenti di lorong kecemasan boleh mengundang padah kepada diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain.

“Tindakan terbabit boleh mengancam nyawa serta menyebabkan kemalangan jiwa,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button