Masyarakat Parit Sulong terpacak seawal subuh

 

(Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad menyertai morning walk dari MRSM Batu Pahat ke Kampung Separap bersama-sama pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) sempena Program Semarak Merdeka Peringkat Parlimen Parit Sulong 2022, baru-baru ini)

Oleh Azrin Muhammad



BATU PAHAT – Sambutan Hari Malaysia di Parit Sulong tidak kurang meriah jika dibandingkan dengan tempat lain apabila masyarakatnya mula memenuhi lokasi sambutan seawal pukul 6.30 pagi untuk sama-sama menyokong serta menunjukkan semangat patriotik.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, perasaan bangga dan teruja mula dirasai sebaik sahaja tiba di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat yang meriah dengan pelbagai hiasan.

“Seronok melihat telatah dan gelagat anak-anak berbusana kebangsaan terutamanya ketika saya menyertai morning walk dari MRSM Batu Pahat ke Kampung Separap bersama-sama pelajar Universiti Teknikal Malaysia (UTeM).

“Pelbagai aktiviti disediakan seperti senamrobik, pertandingan resipi masakan sihat, jualan gerai industri kecil dan sederhana (IKS), pertandingan autoshow retro, sepakan penalti, pertandingan mewarna dan busana kebangsaan, Jualan Murah Keluarga Malaysia dan cabutan bertuah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.



Terdahulu, Noraini menyampaikan sumbangan kepada semua masjid dan surau dalam kawasan Parlimen Parit Sulong bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi setiap pertandingan.

Program Semarak Merdeka Peringkat Parlimen Parit Sulong 2022 merupakan acara anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Parit Sulong dengan kerjasama Wanita, Pemuda, Puteri UMNO Bahagian sejak bulan lalu.

Tambah Noraini, banyak aktiviti telah diadakan seperti pertandingan sepaktakraw dan bola jaring, pertandingan rumah dan pintu gerbang kampung tercantik sepanjang bulan kebangsaan.

“Semua aktiviti disusun untuk menggeratkan semangat kekeluargaan warga Parit Sulong, selain menyemarakkan lagi semangat patriotik terhadap tanah air.



“Terima kasih kepada Crew P147, Wanita, Pemuda, Puteri, Team Faizal Abas, Jabatan Perpaduan Daerah, Jabatan Penerangan Daerah dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Batu Pahat,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button