Memperkasa wanita dalam pembangunan negara

(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (dua dari kiri) anggun mengenakan kain batik sebagai selempang pada majlis sambutan Hari Malaysia 2022 di Melaka baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR: Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad meminta semua peringkat wanita duduk bersama merancang, melaksana dan fokus kepada agenda pemerkasaan hala tuju wanita dalam pembangunan negara.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya sempena sambutan Hari Malaysia 2022, katanya, wanita hari ini semakin berdikari, kuat, berani dan bukan lagi lemah serta hanya mengikut arahan.



Menurutnya, ini dibuktikan dengan statistik peratusan wanita sebagai ahli lembaga pengarah di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia iaitu 25.8 peratus berbanding purata global 19.7 peratus sahaja.

Malah katanya, sektor perkhidmatan awam di negara ini menyaksikan 38.2 peratus daripada jawatan peringkat pembuat keputusan iaitu Gred Utama C dan ke atas disandang oleh kaum wanita.

“Melihat keupayaan wanita hari ini, saya harap tidak ada lagi mana-mana pihak yang cuba merendah-rendahkan martabat wanita,” katanya dalam laporan yang dipetik dari Bernama.

Sambutan Hari Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 yang diadakan di Dataran Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan di Banda Hilir, Melaka baru-baru ini turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.



Sempena sambutan itu, persembahan acara yang penuh bertenaga dan berwarna warni mencerminkan semangat Keluarga Malaysia.

Di Batu Pahat, Johor, Noraini merangkap Ketua Wanita UMNO Malaysia dan Ahli Parlimen Parit Sulong turut meraikan Hari Malaysia 2022 bersama masyarakat di kawasan Parlimen Parit Sulong.

Pelbagai aktiviti kemasyarakatan telah diadakan, antaranya senamrobik, pertandingan resipi masakan sihat dan jualan gerai IKS oleh Wanita, pertandingan autoshow retro dan sepakan penalti oleh Pemuda, pertandingan mewarna dan busana kebangsaan oleh Puteri, Jualan Murah Keluarga Malaysia oleh KPDNHEP Cawangan Batu Pahat dan cabutan bertuah.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, walaupun angka dan pencapaian tersebut menunjukkan perkembangan positif, namun perjuangan memartabatkan wanita masih perlu diteruskan.

“Aspek pemerkasaan wanita yang merangkumi pelbagai bidang perlu dimulakan dari peringkat awal bagi menjayakan aspirasi pemerkasaan wanita, dengan setiap peringkat wanita perlu digerakkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Mahasiswi Kebangsaan 2022 yang dianjurkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam baru-baru ini adalah contoh terbaik inisiatif memperkasakan penglibatan wanita sebagai pembuat keputusan.

“Konvensyen ini bukan sahaja untuk kita mendengar suara, idea dan pandangan, malah lebih daripada itu, mengiktiraf kepimpinan wanita muda hari ini, yang mana suatu hari nanti, mereka bakal mewarisi kepimpinan negara,” katanya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker