Minyak masak Kamariah keluaran tempatan ke pasaran dunia

KUALA LUMPUR – 3Bumi Oleo Sdn Bhd mahu meningkatkan lagi pengeluaran minyak masak jenama Kamariah, sekali gus memperkukuhkan kehadirannya sebagai salah satu jenama minyak masak Bumiputera di Malaysia.

Pengarah Eksekutifnya, Kamal Mansor, berkata ketika ini sebanyak 50 peratus minyak masak Kamariah keluaran syarikatnya adalah untuk pasaran eksport, manakala 35 peratus lagi untuk industri makanan dan minuman.

Beliau berkata, hanya 15 peratus adalah untuk pasaran runcit di Malaysia dan jumlah itu dijangka akan terus dipertingkatkan dalam tempoh terdekat.

“Ini kerana, kami semakin mendapat permintaan daripada pengguna runcit dan syarikat juga ingin melonjakkan kehadiran dalam pasaran domestik dalam masa terdekat.

“Kamariah adalah minyak masak tanpa subsidi dan langkah kerajaan memansuhkan subsidi minyak masak tulen botol telah meningkatkan lagi penjualan kami.

“Harga jualan Kamariah untuk pasaran tempatan juga masih murah dan berada di bawah harga siling minyak masak yang ditetapkan,” katanya kepada BH ketika ditemui baru-baru ini.

Kamal berkata, pada masa yang sama, 3Bumi Oleo juga turut akan mengukuhkan eksport minyak masaknya dengan menumpukan kepada pasaran negara baharu.

Beliau berkata, berbanding pasaran domestik, eksport minyak masaknya adalah bentuk botol 25 kilogram dengan menumpukan kepada negara ASEAN.

Katanya, ketika ini permintaan untuk minyak masak Kamariah adalah sangat memberangsangkan dan syarikat juga telah meningkatkan nilai eksport tahun ini.

“Pasaran negara baharu adalah perancangan berterusan kami dalam pemasaran minyak masak Kamariah. Masih banyak pasaran eksport baharu yang boleh diteroka.

“Ini kerana, negara luar sangat percaya dengan minyak masak keluaran Malaysia berdasarkan kualiti dan kedudukan negara sebagai antara pengeluar utama minyak sawit mentah global,” katanya.

Ketika ditanya sama ada lonjakan harga barang mentah global serta ketidaktentuan harga minyak sawit mentah memberi impak kepada penetapan harga minyak masak Kamariah, Kamal mengakui seperti pengeluar minyak masak yang lain, 3Bumi Oleo juga tidak terkecuali menghadapi isu harga itu.

Bagaimanapun beliau berkata, ketika ini 3Bumi Oleo masih dapat menampung peningkatan harga dan cuba untuk mengawalnya melalui pendekatan perniagaan yang dilaksanakan syarikat.

“Kami masih mampu mengawal harga jualan dan ketika ini juga bagi pasaran domestik, harga jualan masih rendah berbanding penetapan harga siling minyak masak,” katanya.

© Berita Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker