Napoli mula cabar gelaran

MILAN: Napoli menyatakan keinginan mereka untuk merebut gelaran Serie A menerusi kemenangan 2-1 di AC Milan yang mengekalkan mereka sebagai pendahulu liga sementara krisis melanda Juventus berterusan selepas kalah memalukan di tangan Monza.

Penalti Matteo Politano 10 minit selepas bermula babak pertama dan tandukan Giovanni Simeone 12 minit sebelum tamat memberikan kemenangan buat Napoli di San Siro.

Ia berjaya dilakukan tanpa penyerang yang cedera, Victor Osimhen dan jurulatih yang digantung, Luciano Spalletti.

Napoli kini di kedudukan teratas menerusi perbezaan gol dengan Atalanta, yang menang 1-0 di Roma, dan satu mata di depan Udinese yang menewaskan Inter Milan 3-1.

Mereka juga tiga mata di depan juara bertahan, Milan yang jatuh ke tangga kelima selepas kekalahan pertama musim ini.

“Ini bukan hanya mengenai kualiti, ini ialah sebuah pasukan yang memiliki keazaman kuat dan sedia berkorban,” kata pemain gantian, Simeone kepada DAZN.

“Apa yang dimahukan pasukan ini ialah memberikan semuanya dan bertambah baik setiap hari.”

Gol pertama Simeone dalam Serie A buat Napoli menamatkan rentetan 22 perlawanan tanpa kalah buat Milan, yang menyamakan kedudukan pada minit ke-69 menerusi Olivier Giroud.

“Saya langsung tidak gembira sama seperti pemain saya. Kami hanya menjaringkan satu gol dan ia tidak mencukupi daripada apa yang kami cipta,” kata jurulatih Milan, Stefano Pioli kepada DAZN.

“Saya harap kami belajar untuk menjadi lebih tajam di depan gol kerana kami melakukan perkara betul kecuali kesilapan dua kali dalam kawasan penalti.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker