Penampilan masih anak dara, tapi sudah ada tujuh anak
TAIPING – Melihat wajah dan penampilan luarannya mungkin ada yang beranggapan Noriza Tul Akma Abdullah belum berumah tangga.
Hakikatnya, wanita berusia 32 tahun itu sudah memiliki tujuh cahaya mata dengan seorang daripadanya meninggal dunia ketika kandungan berusia empat bulan.
Ia hasil perkahwinannya dengan suami, Muhamad Izzhar Abdullah, 34, pada 2006 iaitu ketika dia berusia 16 tahun.
Ditakdirkan, wanita mesra disapa Akma itu dikurniakan rezeki awal apabila menimang cahaya mata sulung setahun selepas berkahwin sekali gus menjadikannya ibu pada usia muda.
“Saya berkahwin dengan kerelaan sendiri, bukan atas paksaan keluarga atau dijodohkan oleh mereka.
“Kiranya, saya dan suami memang nak menghalalkan hubungan kami dengan perkahwinan.
“Tempoh lima tahun pada awal perkahwinan agak sukar juga kerana usia belum matang malah pernah juga catu makan tetapi semakin biasa menyesuaikan dengan keadaan selepas melahirkan anak kedua,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Akma, selain merujuk dengan ibu bapa, dia banyak membaca buku berkaitan penjagaan bayi untuk menambah pengetahuan.
Katanya, pengetahuan diperoleh itu cuba diaplikasikan mengikut keadaan setiap seorang anaknya.
“Kalau pergi kedai buku, saya memang suka cari buku berkaitan penjagaan anak.
“Dari situ, saya belajar walaupun realitinya tidak sama dan lebih mencabar,” katanya.
Setiap kali keluar bersama anak, Akma tidak menafikan ada yang menyangka dia anak sulung dan berjalan-jalan membawa adik.
Akma berkata, ada juga individu yang cuba ‘mengayatnya’ kerana beranggapan dia belum berkahwin.
“Hakikatnya, saya sudah berkahwin dan ibu kepada tujuh cahaya mata dengan yang sulung berusia 15 tahun dan bongsu dua tahun manakala anak syurga saya, Muhamad sudah meninggal dunia kerana jantung berhenti semasa dalam kandungan.
“Saya tidak layan dan anggap ia sekadar usikan daripada mereka yang tidak kenal kerana orang terdekat tahu saya sudah berkahwin,” katanya.
Berhubung kisahnya yang tular selepas memuat naik video di TikTok, Akma berkata, dia sekadar berkongsi untuk suka-suka saja dan tiada niat mencari perhatian.
“Saya muat naik video itu kelmarin (Jumaat) dan tak sangka ramai yang menonton. Alhamdulillah, banyak komen positif dan terima kasih saya ucapkan kepada yang mendoakan namun ada juga menuduh video itu hanya rekaan serta sekadar bahan (content).
“Saya tidak ambil kisah komen negatif dan terima saja dengan lapang dada.
“Apa yang pasti, saya doakan mereka belum ada cahaya mata atau sedang berusaha dikurniakan rezeki anak oleh Allah.
“Bagi yang ada perancangan kahwin awal pula, saya nasihatkan jangan terburu-buru melainkan sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab sebagai suami dan isteri.
“Ia kerana perkahwinan bukan perkara mudah malah kelangsungan hubungan suami isteri menuntut tolak ansur serta kesabaran tinggi,” katanya yang mencari rezeki menerusi perniagaan dalam talian.
© Harian Metro