Samseng kereta bergesel sudah ditahan

JOHOR BAHRU: Lelaki yang mencederakan seorang peniaga kerana tidak puas hati selepas kereta bergesel di Kilometer 18, Jalan Johor Bahru – Air Hitam, kelmarin, sudah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid, berkata suspek berusia 39 tahun ditahan jam 4.50 petang hasil makluman orang awam.

“Siasatan awal mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau,” katanya hari ini.

Semalam tular video berdurasi sembilan saat membabitkan seorang individu telah dipukul di tengah lebuh raya berkenaan.

Siasatan polis mendapati kejadian itu jam 3.10 petang kelmarin, semasa mangsa yang berusia 57 tahun memandu sebuah kereta Mercedes-Benz dalam perjalanan dari Muar ke Bukit Indah.

“Ketika memandu di lorong tengah, tiba-tiba sebuah kereta Proton Waja warna perak dipandu suspek lelaki tempatan yang memandu di lorong kanan telah mengubah haluan dan masuk di hadapan kereta mangsa.

“Tindakan itu menyebabkan kereta yang dipandu suspek dan mangsa bergesel sebelum masing-masing memberhentikan kenderaan di tepi jalan.

“Selepas itu berlaku pertengkaran antara mereka, sehingga mencetuskan pergaduhan sebelum suspek menggunakan objek tumpul untuk mencederakan mangsa,” katanya sambil menambah mangsa cedera di kepala dan lebam tangan kiri.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta berhubung dengan IPD Johor Bahru Utara menerusi talian 07-55631222.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker