Taiwan digegarkan dengan gempa bumi kuat



TAIWAN – Gempa bumi bermagnitud 6.8 melanda bahagian tenggara Taiwan semalam, kata biro cuaca pulau itu, menyebabkan gerabak kereta api tergelincir serta sebuah kedai serbaneka runtuh.

Bencana itu turut mengakibatkan ratusan orang terperangkap di jalan di kawasan gunung.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (AS) mengukur gempa bumi semalam pada magnitud 7.2 dan pada kedalaman 10 kilometer (km).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiwan berkata, seorang maut manakala 146 lagi cedera akibat kejadian gempa bumi berkenaan.



Empat individu diselamatkan daripada bangunan yang runtuh di Yuli, manakala tiga lagi yang terperangkap dalam kenderaan selepas terjatuh daripada jambatan yang rosak diselamatkan dan dibawa ke hospital.

Pentadbiran kereta Api Taiwan berkata, enam gerabak terkeluar daripada landasan di Stesen Dongli di timur Taiwan selepas sebahagian kanopi platform runtuh, tetapi pihak bomba berkata tiada kecederaan.

Lebih 600 orang terperangkap di kawasan pergunungan Chike dan Liushishi apabila jalan terhalang walaupun tiada kecederaan. Anggota pasukan penyelamat sedang berusaha untuk membuka semula jalan berkenaan, kata jabatan itu.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS mengeluarkan amaran untuk Taiwan selepas gegaran itu, tetapi kemudiannya menarik balik amaran berkenaan. Agensi cuaca Jepun juga menarik balik amaran tsunami untuk sebahagian wilayah Okinawa.



Gempa bumi itu boleh dirasai di seluruh Taiwan, kata biro cuaca. Bangunan bergegar seketika di ibu kota Taipei dan gegaran susulan terus menggegarkan pulau itu.

Taiwan terletak berhampiran persimpangan dua plat tektonik dan terdedah kepada gempa bumi.

Lebih 100 orang terbunuh dalam gempa bumi di selatan Taiwan pada 2016, manakala gempa bumi bermagnitud 7.3 membunuh lebih 2,000 orang pada 1999.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker