USM bantu pelajar Pendidikan Khas



(Universiti Sains Malaysia menunaikan tanggungjawab sosial korporat melalui pelbagai projek termasuk ternakan ikan tilapia di SMK Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang)

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Universiti Sains Malaysia (USM) sentiasa aktif dalam menjalankan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR – Corporat Social Responsibility) bagi membantu golongan pelajar yang memerlukan menerusi perkongsian ilmu.

Terbaharu, USM berusaha membantu pelajar Pendidikan Khas untuk lebih berdaya saing dalam mencipta peluang pekerjaan selepas tamat belajar kelak.



Ketua Projek, Dr. Amirah Hurzaid berkata, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PPPJJ) USM telah diberi tanggungjawab untuk melaksanakan projek ternakan ikan tilapia melibatkan penyertaan pelajar pendidikan khas di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Menurutnya, projek tersebut dijalankan dengan komponen utama melibatkan proses pemindahan ilmu tenaga mahir kepada guru-guru Pendidikan Khas dan waris pelajar yang terlibat dalam projek itu.

Beliau yang juga pensyarah Biologi PPPJJ berkata, latihan khas akan diberikan kepada pelajar terbabit bagi menjalankan penternakan ikan tilapia secara lestari.

“Satu modul dibangunkan sebagai rujukan kepada sekolah-sekolah Pendidikan Khas yang lain, katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.



Projek itu dijalankan dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Batu Maung, pertubuhan bukan kerajaan, PENCINTA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Machang Bubok, Bukit Mertajam, menggunakan Geran Jaringan Industri dan Masyarakat berjumlah RM9,000.

Turut hadir pada majlis perasmian projek di SMK Machang Bubok ialah Pegawai Pendidikan Daerah Unit Pendidikan Khas, Akilah Razinah Abdullah; Masazurah Rahim (FRI Batu Maung); Mohd Syaiful Mohammad (PENCINTA); Profesor Madya Dr. Norehan Mokhtar dan Dr. Zainil Hanim Saidin (USM) serta guru-guru Pendidikan Khas SMK Machang Bubok.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Sektor Pendidikan Khas, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Ahmad Kamal Abdul Ghani dalam ucapan perasmian projek itu berkata, sebanyak 300 ekor benih ikan tilapia dilepaskan sebagai permulaan projek.

Beliau mengalu-alukan kerjasama sebegini kerana selain memberi pendedahan kepada sistem penternakan secara lestari, katanya, pelaksanaan projek itu juga dapat membantu komuniti pelajar kurang upaya mempersiapkan diri untuk berdikari dalam menghadapi masa depan tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan kerajaan apabila tamat persekolahan kelak.



“Projek ini disambut baik oleh pihak sekolah dan seramai 10 pelajar akan mendapat faedah langsung daripada projek ini,” katanya.

Dalam pada itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas, SMK Machang Bubok, Noradawiyah Khosin, berkata, pelajar Pendidikan Khas sebenarnya mempunyai kurang daya saing untuk mendapatkan pekerjaan disebabkan kekurangan latihan dan bimbingan kemahiran hidup efektif yang berpadanan dengan kapasiti pembelajaran pelajar.

“Perkara ini akan merencatkan masa depan pelajar dalam mendepani kehidupan kerana kekurangan peluang pekerjaan yang bersesuaian apabila meninggalkan sekolah kelak,” ujar Noradawiyah sambil mengucapkan terima kasih kepada USM dan agensi-agensi terlibat yang melaksanakan projek berkenaan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker