Anak Allahyarham Ashraf Sinclair pimpin bacaaan Yasin untuk bapanya

Anak kepada penyanyi, Bunga Citra Lestari (BCL), Noah Aidan, 12, memimpin bacaan Yasin buat bapanya, Allahyarham Ashraf Sinclair sempena ulang tahun kelahiran ke-43 aktor itu.

Suasana pilu seisi keluarga di pusara dikongsikan BCL menerusi hantaran di laman sosial Instagram. Cukup hanya tiga emoji hati berserta empat keping foto menyatakan kerinduan yang sarat terhadap suaminya.

Turut hadir menziarahi ialah ibu bapa Ashraf. Ibu Ashraf, Khadijah Abdul Rahman tidak pernah lupa menitipkan doa buat permata hatinya.

“Assalamualaikum. Al-Fatihah untuk Allahyarham Ashraf. Umi dan Daddy berada di sini pada hari lahir Ashraf.

“Noah memimpin bacaan surah Yasin untukmu bersama ahli keluarga di Jakarta. Umi tidak pernah lupa mendoakan agar Ashraf dikurniakan syurga, aamiin. Allahummaghfir lahu warhamhu wa’aafihi wa ‘fu’anhu,” titipnya.

Dalam pada itu, adik Ashraf, pengacara Aishah Sinclair turut menziarahi pusara sempena ulang tahun kelahiran abangnya.

“Saya berharap dapat menempah penerbangan pulang lebih lewat supaya kami dapat mengikuti bacaan Yasin di pusara.

“Saya rasa kali ini peluang untuk Umi dan Daddy kerana ia adalah kunjungan pertama mereka sejak Ashraf pergi. Jadi inilah gambar dari perjalanan terakhir kami.

“Jika anda membaca hantaran ini, bacakan al-Fatihah atau doakan untuk abang saya, Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada hari lahirnya,” titip Aishah.

Pemergian Ashraf atau nama penuhnya, Ashraf Daniel Mohammed Sinclair pada 18 Februari 2020 ketika baharu berusia 40 tahun mengejutkan peminat di Malaysia dan Indonesia. Beliau disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Ashraf berkahwin dengan BCL pada 8 November 2008 di Masjid Al Bina Senayan, Jakarta kemudian meneruskan kariernya di Indonesia dan popular menerusi filem komedi romantis, Saus Kacang, pada 2008 dan beberapa drama bersiri.

© Sinar Plus 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker