Asam garam kehidupan ahli Van Jenazah Gua Musang

GUA MUSANG: Pengalaman menguruskan jenazah yang hancur, reput dan terputus kaki menjadi asam garam dalam kehidupan sekumpulan pemuda yang bergiat aktif dalam kerja amal menguruskan jenazah sejak setahun lalu.

Bagi sukarelawan, Nik Muhamad Nasran Muhamad Nasir, 34, walaupun tanpa bayaran atau elaun diberikan, tugas menguruskan jenazah secara sukarela dilakukan sepenuh hati.

Katanya, dia mula terbabit dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Van Jenazah Gua Musang (VJGM) sejak setahun lalu kerana berminat untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah apabila perlu menguruskan jenazah yang hancur dan reput. Tetapi demi tugas dan tanggungjawab sesama ummah, saya lakukan dengan penuh ikhlas.

“Malah ketika fasa pandemik COVID-19 baru-baru ini, kami juga menguruskan jenazah pesakit COVID-19 dengan pemantauan pegawai kesihatan,” katanya.

Nik Muhamad Nasran berkata, perkhidmatan VJGM adalah percuma dan tiada elaun atau gaji diberikan kepada sukarelawan.

“Ini adalah saham akhirat kami, jika adapun sumbangan daripada keluarga jenazah, semuanya akan dimasukkan ke dalam tabung VJGM untuk membeli kelengkapan pengurusan jenazah.

“Pengalaman saya sendiri, pernah menghantar jenazah sehingga ke luar negeri ini secara percuma.

“Kumpulan VJGM terdiri daripada 20 sukarelawan lelaki dan wanita yang bersedia berkhidmat pada bila-bila masa,” katanya.

Katanya, dia tidak menghadapi masalah dalam melakukan kerja amal ini kerana berkerja sendiri.

“Saya tiada masalah dalam pembahagian masa untuk berkerja dan bertugas menguruskan jenazah, tidak kira tengah malam atau awal pagi.

“Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkaitan pengurusan jenazah boleh menghubungi saya menerusi 017-9084608. Semoga usaha kami dapat membantu lebih ramai golongan memerlukan,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker