Black Panther, Indiana Jones taruhan Disney untuk penonton

LOS ANGELES, Amerika Syarikat – Terus berevolusi, Ekspo D23 yang menggabungkan huruf ‘D’ iaitu singkatan kepada Disney dan angka 23 merujuk kepada 1923, iaitu tahun tertubuhnya studio ikonik yang menghasilkan animasi legenda, menjanjikan keseronokan melalui koleksi kandungan kreatif dan inovatif, bagi tempoh beberapa tahun akan datang.

BH yang mendapat undangan eksklusif Disney menghadiri Ekspo D23 di Pusat Konvensyen Anaheim di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini, melihat kesungguhan The Walt Disney Company memperbaiki mutu kandungan dan inisiatif lain di bawah syarikat gergasi itu dalam mendepani pasaran sengit serta kepesatan teknologi digital.

Pada acara dianjurkan setiap dua tahun itu, wakil media dan jemputan dari seluruh dunia diberi akses untuk menjadi kumpulan terawal menonton sedutan daripada program baharu, mengikuti inisiatif terkini diambil Disney dan melihat sendiri perkongsian selebriti Hollywood yang menjayakan kandungan kreatif terbitan studio ikonik itu untuk tontonan pawagam mahupun platform penstriman Disney Plus.

Sudah pasti, antara perkongsian yang ditunggu-tunggu adalah projek baharu yang diusahakan Lucasfilm dan Marvel Studios yang selama ini menyajikan rangkaian filem adiwira pecah panggung.

Memulakan sesi, Pengerusi The Walt Disney Studios, Alan Bergman, mengimbas semula 13 tahun terawal penganjuran Ekspo D23 dan proses evolusi dilalui kumpulan studionya.

“Pada tahun pertama, tiada studio ikonik yang anda dengar hari ini, menjadi sebahagian daripada syarikat ini. Ketika itu, apa yang ada hanyalah Disney Animation, Disney Live Action dan Pixar.

“Syarikat umum kehadiran Marvel sebelum ekspo yang pertama, iaitu pada 2009. Tiga tahun kemudian, kami perkenalkan Lucasfilm dan menyusul pada 2019, 20th Century Studios.

“Saya berada di Disney selama 26 tahun. Jadi, saya sangat mengalu-alukan setiap daripada mereka dalam keluarga studio kami. Seperti Disney dan Pixar, setiap studio mempunyai koleksi penceritaan luar biasa,” katanya.

Membentangkan projek baharu daripada francais Star Wars, Presiden Lucasfilm, Kathleen Kennedy, teruja mempersembahkan Andor iaitu siri 24 episod yang berkisar watak penting dalam Rogue One : A Star Wars Story pada sesi perkongsian itu.

Andor membawa penonton menjejaki kisah lima tahun sebelum kejadian Rogue One di mana segala-galanya dipenuhi bahaya dan tipu daya.

Turut dipaparkan bagaimana Cassian memulakan jalan hidup yang akhirnya mengubah dirinya menjadi pahlawan pemberontak.

Andor membawakan Star Wars dari perspektif yang berbeza. Dengan aksi yang padat, tiga episod pertama dari musim pertama ini akan ditayangkan di Disney Plus mulai esok.

Antara pelakon membintangi Andor adalah Genevieve O’Reilly, Kyle Soller, Adria Arjona, Cassian Andor, Stellan Skarsgard, Forest Whitaker, Denise Gough, Fiona Shaw dan Faye Marsay.

Kennedy kemudian membentangkan projek terbaharu Lucasfilm dan Imagine Entertainment iaitu siri Willow.

Siri aksi, fantasi dan pengembaraan ini dibintangi Joanne Whalley, Ruby Cruz, Erin Kellyman, Ellie Bamber, Dempsey Bryk, Amar Chadha-Patel dan Tony Revolori.

Willow yang berkisar sekumpulan pahlawan yang melalui pengembaraan berbahaya, akan ditayangkan di Disney Plus pada 30 November depan.

Selain Willow, siri lain yang boleh boleh distrim di Disney Plus Star Wars : The Bad Batch musim kedua.

Star Wars: The Bad Batch menggunakan suara pelakon Dee Bradley Baker, Michelle Ang, Carrie Beck, Athena Portillo dan Brad Rau.

Selain itu, Star Wars : Tales Of The Jedi iaitu siri animasi enam episod mula ditayangkan Disney Plus pada 26 Oktober depan.

Siri ini berkisar kehidupan dua jedi iaitu Ahsoka Tano dan Count Dooku.

Menambah keterujaan, Kennedy memberitahu, siri Ahsoka yang berkisar bekas pahlawan jedi, Ahsoka Tano dijadual ditayangkan tahun depan melalui platform penstriman sama.

Paling menarik perhatian, sudah tentu slot mengumumkan siri Star Wars : Skeleton Crew yang akan ditayangkan Disney Plus, tidak lama lagi.

Tampil di pentas, aktor Jude Law berkongsi butiran siri ini yang berkisar empat kanak-kanak yang tersesat di galaksi luas, cuba mencari jalan pulang.

Tidak cukup itu, musim ketiga The Mandalorian dibintangi Pedro Pascal, Katee Sackhoff, Amy Sedaris, Giancarlo Esposito dan Emily Swallow juga bakal menemui peminat Disney Plus, tahun depan.

Dalam musim ketiga The Mandalorian, Mandalorian dan Grogu disatukan dan meneruskan perjalanan di galaksi.

Sebelum Kennedy menutup bicara, beliau berkongsi mengenai filem kelima daripada francais filem Indiana Jones.

“Saya tidak boleh tinggalkan pentas ini tanpa bercakap mengenai satu lagi projek di mana kami bekerja keras untuk menghasilkannya.

“Sehubungan itu, saya sangat teruja untuk mengalu-alukan ke pentas pengarah, James Mangold,” katanya.

Mangold kemudian berkongsi butiran filem kelima Indiana Jones berserta ‘trailer’ filem itu yang akan ditayangkan di pawagam pada 30 Jun 2023.

Menyertai Kennedy dan Mangold di pentas, bintang utama, Harrison Ford dan Phoebe Waller-Bridge.

Ford yang tampak emosi, meluahkan rasa gembira diberi peluang menjayakan filem itu.

“Terima kasih kerana menjadikan filem Indiana Jones suatu pengalaman yang luar biasa untuk kita semua. Saya sangat berbangga untuk menyatakan bahawa jika filem ini hebat, Waller-Bridge adalah salah satu sebabnya.

“Indiana Jones bukan sahaja mengenai fantasi dan misteri, tetapi mengenai hati. Saya benar-benar gembira kerana kami ada kisah begini untuk diceritakan. Saya juga menjanjikan filem ini akan mengejutkan anda,” katanya.

Presiden Marvel Studios, Kevin Feige, berkongsi maklumat terbaharu mengenai filem Fantastic Four serta dua filem Avengers iaitu The Kang Dynasty dan Secret Wars.

Menambah keterujaan, peminat Marvel juga dihadiahkan dengan filem baharu, Black Panther : Wakanda Forever arahan Ryan Coogler.

Memaparkan kesinambungan kisah daripada filem Black Panther yang ditayangkan pada 2018, naskhah ini antara lain dibintangi Angela Bassett sebagai Queen Ramonda.

Black Panther : Wakanda Forever akan ditayangkan di pawagam, November depan.

Filem ini berkisar penduduk Wakanda bertarung bagi mempertahankan kerajaan selepas kematian King T’Challa.

Selain itu, bakal menemui penonton Disney Plus adalah Werewolf By Night. Siri ini boleh distrim mulai 7 Oktober depan, manakala Secret Invasion akan dilancarkan di Disney Plus, tahun depan.

Feige juga memberitahu, musim kedua siri Loki sudah memulakan kerja produksi.

Pelakon siri itu iaitu Tom Hiddleston, Owen Wilson, Sophia Di Martino and Ke Huy Quan bagaimanapun sempat meluangkan masa dalam kesibukan di lokasi penggambaran, untuk menghadiri sesi berkenaan.

Musim terbaru Loki boleh distrim di Disney Plus, tahun depan, sama seperti siri baharu Echo lakonan Alaqua Cox, Vincent D’Onofrio, Devery Jacobs, Graham Greene, Cody Lightning dan Chaske Spencer.

Turut diumumkan adalah Daredevil : Born Again yang akan disiarkan di platform sama.

Tidak ketinggalan, filem Ant-Man And The Wasp : Quantumania. Filem ini dibintangi Paul Rudd, Evangeline Lilly dan Jonathan Majors.

Kali ini, Scott Lang lakonan Rudd dan Hope Van Dyne (Evangeline) berganding bahu bersama Hank Pym (Michael Douglas) dan Janet Van Dyne (Michelle Pfeiffer) serta anak Scott, Cassie Lang (Kathryn Newton), meneroka Quantum Realm dan berdepan pengembaraan luar biasa.

Filem ini akan ditayangkan di pawagam pada 17 Februari depan.

Sementara itu, versi baharu Captain America akan ditayangkan di pawagam pada 2024.

Captain America : New World Order dibintangi Anthony Mackie sebagai Sam Wilson dan Captain America. Filem ini bakal menemui penonton di pawagam pada 3 Mei 2024.

Feige kemudian mengumumkan barisan pelakon filem Thunderbolts iaitu Julia Louis-Dreyfus yang menghidupkan watak Valentina Allegra de Fontaine, David Harbour (Red Guardian), Hannah John-Kamen (Ghost), Sebastian Stan (James Bucky Barnes/The Winter Soldier) dan Wyatt Russell (John Walker/Agen AS).

Thunderbolts akan ditayangkan di pawagam pada 26 Julai 2024.

Feige turut berkongsi keterujaan bahawa filem The Fantastic Four bakal diarah Matt Shakman. Filem ini dijangka ditayangkan di pawagam pada 8 November 2024.

The Walt Disney Studios merangkumi studio filem Disney, Walt Disney Animation Studios, Pixar Animation Studios, Lucasfilm, Marvel Studios, Searchlight Pictures dan 20th Century Studios.

Selama lebih 95 tahun, The Walt Disney Studios menjadi asas kepada The Walt Disney Company. Syarikat ini membawakan filem berkualiti, drama bersiri dan persembahan pentas kepada peminat di seluruh dunia.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker