Dalam dunia dianggarkan mungkin ada 20 kuadrilion ekor semut



WASHINGTON, Amerika Syarikat – Terdapat sekurang-kurangnya 20 kuadrilion semut di muka bumi, lapor satu kajian yang membuktikan peranan penting serangga itu dalam ekosistem dunia.

Kajian terbaharu ini diterbitkan dalam jurnal Prosiding Akademi Sains Kebangsaan (PNAS) yang mana penyelidik menganalisis 465 kajian mengukur bilangan semut di lapangan.

Kajian itu menggunakan dua teknik iaitu memasang perangkap bagi semut yang lalu lalang dalam tempoh masa tertentu, atau menganalisis bilangan semut pada tompokan daun tertentu di atas tanah.

Walaupun kajian dijalankan di semua benua namun hanya sedikit data atau tiada langsung maklumat diperoleh di beberapa wilayah utama termasuk Afrika tengah dan Asia berhubung jumlah semut.



“Inilah sebabnya mengapa jumlah sebenar semut di seluruh dunia mungkin jauh lebih tinggi daripada yang dianggarkan.

“Justeru amat penting untuk kita mengisi jurang yang tinggal ini bagi mencapai gambaran menyeluruh mengenai kepelbagaian serangga,” menurut kajian itu.

Menentukan populasi global semut adalah penting untuk mengukur kesan perubahan kepada habitat serangga itu termasuk disebabkan perubahan iklim.

Semut memainkan peranan penting, menyebarkan benih, menjadi tuan rumah organisma dan berfungsi sama ada sebagai pemangsa atau mangsa.



Beberapa kajian sebelum ini cuba menganggarkan populasi semut secara global, tetapi hasilnya adalah jauh lebih kecil daripada 20 kuadrilion, bersamaan 20 juta bilion.

Sehingga kini, terdapat lebih 15,700 spesis dan subspesies semut yang ditemui di seluruh dunia namun jumlah itu dikatakan sama dengan bilangan yang masih belum dikaji.

Bagaimanapun hampir dua pertiga daripadanya hanya terdapat dalam dua jenis ekosistem iaitu hutan tropika dan padang rumput tropika.

Berdasarkan anggaran bilangan semut, jumlah biojisim global dianggap sebanyak 12 megaton karbon kering, sekali gus lebih banyak daripada gabungan burung liar dan mamalia, serta 20 peratus daripada manusia.



Pada masa hadapan, penyelidik merancang untuk mengkaji faktor persekitaran yang mempengaruhi kepadatan populasi semut.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker