Usaha selamatkan mangsa terperangkap di pusat bandar Kota Tinggi giat dijalankan


Operasi anggota APM Kota Tinggi menyelamatkan mangsa banjir yang tersadai di beberapa rumah kedai tingkat di Pusat bandar Kota Tinggi yang dinaiki air lebih kurang dua meter.

04/01/2021 01:06 PM

Oleh Nor Baizura Basri

KOTA TINGGI, 4 Jan — Usaha menyelamatkan mangsa banjir yang terperangkap di pusat bandar yang kini dinaiki air setinggi dua meter sedang giat dijalankan agensi penyelamat seperti Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).



Tinjauan Bernama mendapati air setinggi paras dada di pusat bandar itu turut menghalang laluan kenderaan ringan mahupun berat dan hanya boleh dilalui menggunakan bot.

Kebanyakan mereka yang diselamatkan merupakan mereka yang tinggal di rumah kedai atau peniaga yang mempunyai kedai di pusat bandar berkenaan.

Semua aktiviti perniagaan dan komersial serta harian turut terhenti berikutan tiada akses masuk ke bandar itu.

Ini antara banjir terburuk selepas bandar itu mengalami banjir besar pada 2006.



Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora berkata banjir di kawasan bandar itu juga disebabkan air pasang besar di sungai Kota Tinggi, Sabtu lepas.

Beliau berkata keadaan banjir ini dijangka kekal sehingga Rabu dan kini pihaknya sedang melakukan tugas-tugas menyelamat mangsa banjir mengikut maklumat yang diterima daripada pusat kawalan operasi banjir daerah Kota Tinggi.

“Ketika ini pusat kawalan operasi banjir telah diaktifkan dengan semua agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM dan APM dikerah membantu mangsa banjir.

“Mangsa banjir dibawa keluar dari kediaman masing-masing sebelum dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) mengikut lokasi kampung dan taman di daerah itu,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.



Selain itu, Hussin berkata berkata bot-bot persendirian orang awam yang ingin memasuki ke kawasan pusat bandar bagi tujuan mengeluarkan barang dari premis masing-masing perlu meminta kebenaran pihaknya terlebih dahulu.

Menurut beliau, pihak polis tidak mahu insiden yang tidak diingini berlaku kepada orang awam yang memasuki kawasan banjir ini memandangkan kawasan itu kini dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi dan juga untuk menjaga harta benda di kawasan itu.

Kota Tinggi merupakan daerah yang terjejas teruk ekoran banjir kali ini melibatkan seramai 2,029 mangsa daripada 514 keluarga dan penduduk kini ditempatkan di 20 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setakat 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir di Johor menurun kepada 6,991 orang di lapan daerah.



— BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button