Inisiatif UiTM bantu pelajar sewa rumah
(UiTM mengambil inisiatif membentuk Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa untuk membantu menyelesaikan isu rumah sewa mahasiswa yang hangat diperkatakan sekarang. – Gambar Hiasan)
Oleh Rohana Man
SHAH ALAM: Bebanan kewangan ibu bapa dan penjaga yang terkesan disebabkan aktiviti ekonomi yang masih perlahan menjadi antara punca pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan mendaftar masuk bagi Sesi Akademik 2022/2023 dalam masa terdekat ini, tidak mampu menyewa rumah, mahupun bilik untuk didiami.
Menyedari perkara tersebut, Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengambil inisiatif membantu mahasiswa universiti itu yang terpaksa menyewa rumah atau bilik kediaman.
UiTM dalam satu kenyataan media hari ini, memaklumkan pihaknya mengambil langkah membentuk Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa yang akan bertindak serta-merta dalam mencari resolusi terbaik bagi membantu mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa.
“Tindakan ini diambil susulan daripada isu penempatan mahasiswa yang sukar mendapatkan rumah sewa, terutama di kawasan berdekatan kampus UiTM,” kata kenyataan itu.
Sehubungan itu, UiTM mewujudkan portal rumah sewa NR (https://nr.uitm.edu.my) bagi membantu memudahkan urusan mahasiswa mendapatkan rumah sewa.
“Selain mencari rumah sewa, platform ini juga boleh digunakan untuk pengiklanan rumah sewa oleh tuan rumah.
“Dalam konteks ini, pengurusan Non Residen (NR) UiTM turut membuat tinjauan secara berkala berkaitan isu keselamatan, kontrak perjanjian sewa rumah dan kebajikan mahasiswa NR,”tambahnya.
Kenyataan itu turut menyebut, UiTM kini menyediakan 107,000 tempat di kolej kediaman, dengan penawaran 34,000 tempat kepada pelajar baharu program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda; 52,000 tempat kepada pelajar yang layak secara merit mengikut polisi penempatan UiTM dan 21,000 tempat kepada pelajar yang sedang merayu kolej kediaman.
Menurutnya, permohonan rayuan kolej boleh dibuat secara dalam talian melalui sistem e-Rayuan Kolej yang dibuka mulai 13 September 2022 hingga 23 September 2022 dan keputusan permohonan e-Rayuan Kolej akan dikeluarkan mulai 28 September ini.
Katanya, tawaran kolej kediaman untuk pelajar yang sedang membuat rayuan tertakluk kepada beberapa kriteria iaitu merujuk polisi penempatan UiTM; pelajar semester akhir dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000; pelajar Sabah dan Sarawak dari keluarga berpendapatan bawah RM2,000 serta pelajar semester akhir dari keluarga kategori B40.
“Jawatankuasa Krisis Kolej Kediaman dan Rumah Sewa UiTM kini sedang meneliti dan menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi mahasiswa dengan cara terbaik.
“UiTM juga berharap semua mahasiswa kekal tenang dalam menghadapi situasi sekarang,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak UiTM akan terus menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa dan tidak akan mengambil mudah dengan sebarang perkara, terutama yang mendatangkan kesulitan kepada mahasiswa serta warganya.