Isteri upah empat lelaki untuk samun dan bunuh suami

KUALA LUMPUR – Seorang wanita yang disyaki mengupah empat lelaki untuk menyamun dan membunuh suaminya diberkas polis.

Selain wanita tersebut, polis turut menahan empat individu yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memaklumkan terdapat pergaduhan sekumpulan lelaki pada jam 2.14 pagi 15 September lalu.

Katanya, pengadu melihat seorang lelaki terbaring dan berlumuran darah di sebuah rumah teres di Taman Aneka Baru, Sungai Udang, Klang.



Tambahnya, bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan digerakkan ke tempat kejadian dan mendapati seorang lelaki berusia 41 tahun terbaring dan berlumuran darah disahkan meninggal dunia.

Menurut Arjunaidi, berdasarkan keterangan isteri mangsa mendapati dua lelaki yang berpakaian hitam, bertopeng serta bersenjatakan pisau telah masuk kediaman mereka melalui melalui pintu hadapan telah menikam suaminya berulang kali sehingga menyebabkan kematian.

“Suspek juga dikatakan telah menggeledah bilik rumah mangsa dan mengambil pelbagai barang berharga iaitu beg tangan berjenama, pelbagai barang kemas dan wang tunai RM40,000 sebelum melarikan diri menggunakan sebuah kereta BMW dan jumlah kerugian dianggarkan lebih kurang RM100,000,” katanya pada sidang sidang media, di sini, hari ini.

Tambah Arjunaidi, Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor yang melakukan pemeriksaan di tempat kejadian menjumpai beberapa barang, termasuk rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV), yang boleh membantu siasatan.



Menurutnya, bedah siasat ke atas mayat mangsa di Hospital Tengku Ampuan Rahimah mendapati terdapat 14 kesan tikaman di bahagian badan lelaki itu menggunakan senjata tajam yang merupakan punca kematiannya.

Berikutan itu, kata beliau, Bahagian JSJ Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan dengan bersenjata dan menyebabkan kematian yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat.

Arjunaidi berkata, bertindak atas maklumat laporan pada 15 September itu, polis menahan isteri kepada mangsa yang berumur 37 tahun.

“Hasil Siasatan lanjut telah membongkar kejadian sebenar yang mana isteri mangsa telah mendalangi jenayah itu dengan membuat perancangan dan persiapan untuk melakukan pembunuhan terhadap suami sendiri dan isteri mangsa juga telah memberikan maklumat kepada suspek-suspek bunuh dan samun yang bersubahat dalam komplot jenayah tersebut,” ujarnya,

Tambah beliau, soal siasat ke atas isteri mangsa membawa kepada tangkapan empat suspek lelaki berumur antara 20 hingga 36 tahun yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau.

Jelasnya, hasil pemeriksaan ke atas keempat-empat suspek membawa kepada rampasan sebuah kereta BMW yang disyaki digunakan semasa melakukan jenayah bunuh dan samun.

Selain itu, katanya, polis turut merampas beg tangan berjenama dan barangan kemas milik mangsa yang didakwa dilarikan suspek semasa kejadian tersebut.

Kesemua suspek, termasuk isteri mangsa, telah ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan.

“Siasatan polis setakat ini menunjukkan motif kejadian dipercayai mempunyai unsur dendam dan kepentingan diri.

“Polis masih menjalankan siasatan dan melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh masa terdekat sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Saiful Azni di talian 03-3376222 atau hadir di balai polis berhampiran.

© Malaysia Gazette

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker