Muhyiddin bidas Perdana Menteri, Shahril Hamdan pulang paku buah keras



Muhyiddin bidas Perdana Menteri, Shahril Hamdan pulang paku buah keras

Muhyiddin bidas Perdana Menteri, Shahril Hamdan pulang paku buah keras
Shahril Hamdan (kiri) dan Muhyiddin Yassin.

KUALA LUMPUR: Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara terbuka membidas kepemimpinan Perdana Menteri yang dilihatnya tidak memandang semua isu membelenggu negara ketika ini termasuk inflasi, kekurangan tenaga kerja dan kemerosotan nilai ringgit sebagai sesuatu yang penting.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu berkata, setiap kali majlis itu bermesyuarat, isu kekurangan tenaga kerja sering kali dibangkitkan dan dilaporkan kepada Kabinet, namun setakat ini masih belum ada penyelesaian komprehensif terhadap semua isu itu.

Kata Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap Presiden BERSATU, isu kejatuhan nilai ringgit juga tidak dipandang serius dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak tampil menjelaskan langkah akan diambil kerajaan untuk membendung kejatuhan nilai ringgit.

Perdana Menteri dalam reaksinya selepas itu menegaskan, jika pengurusan negara gagal seperti dakwaan Muhyiddin, ia bermakna semua yang diberi tanggungjawab mengurus negara adalah gagal, termasuk MPN.

Mengulas isu sama, Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Hamdan melalui kenyataan di laman Facebooknya, tidak menafikan keadaan ekonomi global yang tidak menentu telah menyebabkan situasi yang amat mencabar untuk rakyat.

Sebab itu, beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO, berkata pelbagai inisiatif dilaksanakan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, dari soal kemiskinan sehinggalah menurunkan pengangguran dengan drastik.

Namun, katanya, masih banyak yang perlu dilakukan untuk memperbetulkan keadaan rakyat yang terkesan daripada tamparan hebat sejak pandemik COVID-10, namun ia bukan alasan untuk individu tertentu melemparkan label tanpa cermin diri.

“Terutama apabila individu itu ialah Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, bekas Perdana Menteri yang banyak buat keputusan janggal, presiden parti yang ada wakil dalam Kabinet termasuk dalam portfolio ekonomi,” katanya.

Kepada isu yang dibangkitkan oleh bekas Perdana Menteri itu, beliau tampil memberi penjelasan seperti berikut.

Tan Sri Muhyiddin kata Banyak syarikat terpaksa kecilkan operasi atau tutup.

Jawapan: Agaknya sebab apa? Agaknya zaman bila? Cuba tengok berapa syarikat yang tutup semasa dia jadi PM? Lebih 100,000 perniagaan tutup operasi semasa Covid.

Ya sebahagiannya disebabkan Covid memuncak. Tapi sebahagiannya juga sebab Perdana Menteri waktu itu sendiri tidak ada ketegasan apa jalan keluar dari belenggu Covid. Kejap A, kejap B. Kejap buka kejap tutup.

Mujur DSIS (Datuk Seri Ismail Sabri) jadi PM, buka semula ekonomi. Tarik pelaburan sehingga angka tertinggi dalam sejarah dicatat sebanyak RM72.9 bilion bagi tempoh 9 bulan.

Melalui Bajet 2022, PM juga telah memperkenalkan program Semarak Niaga berjumlah RM40 bilion untuk membantu usahawan dan perniagaan bina semula punca rezeki mereka.

Ini juga dilengkapi oleh inisiatif JaminKerja dengan peruntukan berjumlah RM4.8 bilion untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi seluruh Keluarga Malaysia yang terjejas.

Hasil daripada ini, pengangguran turun 12 bulan berturut-turut setelah DSIS jadi PM kepada 3.8 peratus dan jumlah status bekerja naik 600,000 dari Ogos 2021 hingga Julai 2022.

Malah, jualan barangan borong dan runcit juga meningkat dengan kadar tertinggi sepanjang tahun ini. Kadar muflis juga menurun tahun ini.

Kalau Tan Sri Muhyiddin? Lockdown sampai bila? Nak kerja atau berniaga macam mana? Nak dapat pendapatan macam mana?

TSMY (Tan Sri Muhyiddin Yassin) kata ringgit lemah.

Jawapan: Tidak ada sesiapa yang menafikan bahawa ringgit Malaysia menyusut berbanding dolar AS (Amerika Syarikat). Tetapi lebih kukuh berbanding British Pound, Yen Jepun, Won Korea Selatan dan beberapa matawang lain.

TSMY berkata kerajaan tak bersungguh-sungguh memulihkan ringgit berbanding dolar. Apa idea hebat TSMY? Hendak tambat mata wang? Hendak buat ‘capital controls’?

Hendak pakai rizab antarabangsa kita? Kalau ya, cakaplah dan bersedia pertahankan idea itu. Kalau setakat kata ringgit susut, tapi tak ada kesedaran punca, jauh sekali idea, apa guna?

Kadar faedah di AS naik dengan cepat. Kalau Malaysia ambil tindakan lebih agresif, ringgit berkemungkinan kukuh sedikit, tetapi rakyat akan berdepan dengan kadar bayaran hutang yang lebih tinggi. TSMY hendak minta OPR naik berapa peratus?

TSMY kata ada rakyat yang lambat bayar hutang atau ikat perut.

Jawapan: Sememangnya ada rakyat yang sedang susah. Memang ada PKS (perusahaan kecil dan sederahana) yang susah. Tetapi lihat usaha yang dibuat dalam Bajet 2022, antaranya seperti disebut di poin (1).

Pinjaman tanpa faedah, pinjaman dengan moratorium enam bulan, semua antara usaha dalam Semarak Niaga.

DSIS juga pernah menyeru kepada institusi kewangan untuk tidak ambil tindakan terhadap mana-mana PKS yang gagal bayar balik pinjaman. Malah, Bank Rakyat dan SME Bank antara institusi perbankan yang tidak ambil apa-apa tindakan.

Zaman Tan Sri Muhyiddin seolah-olah tidak ada yang ikat perut? Adakah kita lupa apa yang telah berlaku? Ramai tidak mampu membeli keperluan asas sehingga rakyat minta bantuan dengan mengangkat bendera putih. Yang itu apa pula komen TSMY?

TSMY kata Malaysia import sebahagian besar keperluan makanan.

Jawapan: Dari dulu lagi. Tetapi apa yang TSMY buat semasa jadi PM untuk memperbaiki kedudukan keselamatan makanan?

Bawah DSIS, tindakan berani dengan penghapusan AP, pembekuan eksport ayam ke luar negara, kemudahan pinjaman untuk petani dan pengeluar makanan, subsidi untuk pengusaha ayam dan lain-lain.

Isu keselamatan makanan ini semua kesinambungan dari dasar-dasar semasa zaman Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan Dato’ Sri Najib (Datuk Seri Najib Razak). Dari dasar pertanian untuk semua ke dasar agromakanan negara. Apa dasar TSMY atau legasi beliau?

TSMY kata eloklah pilihan raya diadakan supaya kerajaan baharu dapat dipilih oleh rakyat.

Jawapan: Habis tu kenapa tuntut jawatan TPM (timbalan perdana menteri) dan menteri-menteri? Bab mendapat mandat dari pilihan raya ni, BN (Barisan Nasional) sudah sebut sejak Februari 2020 lagi.

Berbeza dengan TSMY. Jangankan pilihan raya, sidang Parlimen pun dielak melalui darurat. Jadi agak janggal bila tiba-tiba bercakap tentang mandat rakyat. Apapun, bila PRU (pilihan raya umum) sampai, kita lihat siapa yang sebenarnya gagal.

Natijahnya, dalam hal ekonomi ini, tiada yang sempurna. Masih banyak masalah perlu diatasi. Tapi sekurang-kurangnya batu asas telah diletak dan kemajuan dicapai dari kedudukan bawah semasa TSMY letak jawatan. Dari semua kemajuan itu, kita akan teruskan usaha.

“PRU dulu sebelum pemilihan” – Shahril Hamdan

Muhyiddin bidas Perdana Menteri, Shahril Hamdan pulang paku buah keras

 

DISYORKAN UNTUK ANDA :


LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :

Rafizi Hasut Rakyat Untuk Derhaka Kepada Agong?

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker