PAS tidak bersedia dan tidak mampu berdepan BN pada PRU15

SHAH ALAM – PAS sama sekali tidak bersetuju dengan sebarang ketetapan atau pendirian yang menggambarkan BN sebagai musuh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu sebaliknya tetap menegaskan bahawa musuh sebenar penyatuan ummah adalah Pakatan Harapan (PH) dan sekutu-sekutunya termasuk khemah besar.

“Pas kekal dengan pendirian untuk menjalinkan hubungan dengan UMNO sebagai rakan ta’awun (kerjasama) sekali gus tidak bersetuju dengan gambaran BN sebagai musuh dalam PRU15 nanti.



“Kami yakin gabungan atas konsep penyatuan ummah dan perpaduan nasional sahajalah mampu menjadi formula terbaik dan berkesan serta diterima oleh majoriti pengundi ke arah mewujudkan kerajaan prihatin rakyat dengan langkah penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada seluruh masyarakat.

“Pada masa sama, penyatuan ini akan memberikan perhatian khusus kepada aspek semak dan imbang,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Takiyuddin, Pas optimis hanya dengan perpaduan dan kerjasama politik antara parti-parti utama Melayu Islam sahaja akan dapat mengelakkan pertandingan lebih daripada dua penjuru dalam PRU15.

“Ini bukan sahaja dapat menjamin terbentuknya pemerintahan yang adil dan saksama kepada semua rakyat merentasi kaum, agama, bangsa dan budaya tetapi juga mengelakkan berulangnya sejarah hitam yang berlaku semasa PRU14,” jelasnya.



Takiyuddin menambah, Pas yakin Agenda Penyatuan Ummah dan Perpaduan Nasional antara orang Melayu Islam, bumiputera dan rakyat pelbagai kaum di Malaysia hanya dapat dicapai sekiranya kestabilan politik dapat diwujudkan selepas PRU15.

Justeru ujar beliau, Pas melalui pelbagai pendekatan akan terus berusaha, termasuk menyeru seboleh mungkin parti-parti yang mewujudkan kerajaan Persekutuan ketika ini untuk terus bekerjasama menghadapi PRU15.

“Seterusnya membentuk kerajaan baharu yang lebih mantap dan berautoriti,” katanya.

© Sinar Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button