Rakyat Britain mungkin terima pencen usia 90 tahun

Oleh – Syeikh Baran


Rakyat Britain mungkin terima pencen usia 90 tahun
Umur pencen dijangka meningkat kepada 68 tahun dalam beberapa tahun akan datang. – Getty

Seorang pakar memberi amaran bahawa rakyat Britain tidak lama lagi dijangka hanya boleh menuntut wang pencen ketika berumur 90 tahun, lapor akhbar Daily Express semalam.

Pengarah syarikat Investment Consulting, Sam Roberts berkata, kerajaan Britain tidak lama lagi terpaksa mengubah dasar semasa pencen kerana ia menimbulkan tekanan terhadap Perbendaharaan negara.

“Syarat pencen ditetapkan kerajaan tidak mapan kerana tidak mengurangkan faedah secara jelas atau sudah mengurangkan faedah tetapi menyebabkan inflasi lebih tinggi akibat kenaikan pencen tahunan.

“Umur pencen secara teori boleh meningkat kepada 80 atau 90 tahun. Ketika diperkenalkan, kebanyakan pekerja dijangka tidak hidup cukup lama untuk menuntutnya.

“Bagaimanapun, usia pencen adalah keputusan politik jadi kenaikan secara besar adalah mustahil. Oleh itu, Bank of England nampaknya memilih mewujudkan lebih banyak inflasi,” kata Roberts.

Umur pencen di Britain dijangka meningkat kepada 67 tahun antara 2026 dan 2028 serta kepada 68 tahun antara 2044  hingga 2046. 

Roberts turut memberi amaran bahawa sejak sekian lama, kenaikan kos sara hidup telah mengatasi pertumbuhan dalam pencen.

Penasihat kewangan, Michael Dinich, memberi amaran bahawa kenaikan 8.5 peratus kepada pencen pada April lalu mungkin tidak menampung peningkatan kos yang dihadapi oleh pesara. – AGENSI

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker