PROLINTAS tingkatkan keselamatan sepanjang jajaran SUKE



Kuala Lumpur: Pengguna Lebuh raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dinasihatkan supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan sepanjang pemanduan, termasuk tidak berhenti di bahu jalan tanpa sebarang alasan kecemasan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, berkata pihaknya sedar ada segelintir pengguna yang teruja dan bertindak berhenti di laluan kecemasan untuk merakam pemandangan menarik di beberapa lokasi sepanjang lebuh raya berkenaan.

“Kami melarang sama sekali pengguna daripada memberhentikan kenderaan di bahu jalan tanpa alasan kecemasan kerana perbuatan itu amat berbahaya bukan saja kepada diri mereka sendiri, malah pengguna lebuh raya lain.

“Aspek keselamatan sentiasa diutamakan oleh PROLINTAS. Kami cukup berbesar hati dengan sokongan yang diberikan pengguna. Namun, kami berharap agar semua pihak dapat menjaga aspek keselamatan di lebuh raya agar tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.

Media hari ini melaporkan kemalangan pertama di SUKE, tiga hari selepas lebuh raya itu dilancarkan.

Insiden itu berlaku disebabkan seorang pemandu Perodua Myvi dipercayai berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar di lebuh raya berkenaan. Susulan daripada kejadian itu, seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan.

Mohammad Azlan berkata, bahagian operasi SUKE sudah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang menjadi tumpuan pengguna di sepanjang jajaran lebuh raya itu.

Sehubungan itu, jelasnya, bagi memastikan keselamatan pengguna berada di tahap terbaik, pihaknya mengambil pelbagai langkah penting bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.

“Unit Polis Bantuan PROLINTAS atau ‘peronda SUKE’ yang bertugas 24 jam melakukan rondaan dengan lebih kerap dan ditempatkan di lokasi panas itu. Selain itu, papan tanda ‘Dilarang Berhenti Kecuali Kecemasan” juga akan dipasang di kawasan dikenal pasti dalam masa terdekat.

“Kon keselamatan turut ditempatkan di lokasi berkenaan untuk menghalang pengguna daripada berhenti tanpa alasan kecemasan,” katanya sambil menambah, bahagian operasi SUKE juga akan memastikan penyelenggaraan lebuh raya berada di tahap optimum selain terus bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan termasuk Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan aliran trafik berjalan lancar.

Dalam pada itu, Mohammad Azlan berkata, hampir 100,000 kenderaan menggunakan lebuh raya itu pada 24 jam pertama selepas fasa pertama dibuka kepada pengguna bermula Jumaat lalu.

Katanya, sambutan yang diterima sungguh luar biasa dan menjangkaui sasaran purata trafik harian (ADT) untuk fasa pertama iaitu 80,000 kenderaan sehari.

“Kebanyakan pengguna terawal lebuh raya SUKE terdiri daripada penduduk sekitar yang mengambil kesempatan cuti umum sempena Hari Malaysia untuk merasai sendiri pengalaman perjalanan di atas lebuh raya bertingkat terbaharu di Lembah Klang ini,” katanya.

Beliau berkata, sebuah kawasan rehat dan rawat akan dibangunkan berdekatan persimpangan Tasik Tambahan bagi membolehkan pengguna menikmati panorama Kuala Lumpur dengan selamat.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker