UPSI dapat Anugerah MBOR

 

(PARA penyelam yang terdiri daripada alumni UPSI bergambar bersama struktur terumbu glob terbesar yang dibina mereka di Pusat Taman Laut Pulau Redang, Terengganu baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

TANJUNG MALIM – Antara kepentingan terumbu karang ialah bertindak sebagai benteng dan perlindungan pantai terhadap ombak yang kuat.

Terumbu karang juga menyediakan kawasan yang selamat dan penuh dengan makanan untuk tumbesaran anak-anak ikan.



Ia juga merupakan kawasan yang kaya dengan makanan dan perlindungan kepada pelbagai spesies hidupan marin.

Selain itu, terumbu karang juga berfungsi sebagai kawasan sumber makanan yang tinggi produktivitinya serta menjadi tempat perlindungan kepada pelbagai jenis ikan dan invertebrate.

Sehubungan itu, penting untuk kita memelihara kawasan perairan dan hidupan akuatik dengan memastikan kawasan terumbu karang terus berada dalam keadaan lestari dan mapan.

Memandangkan tindakan manusia boleh merosakkan terumbu karang seperti kegiatan perhotelan, menangkap ikan dan sebagainya, maka usaha perlu dilakukan bagi menangani masalah kepupusan terumbu karang semula jadi.



Menyedari itu, institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mahu ketinggalan dalam menggerakkan usaha bagi menanam terumbu karang tiruan di dasar laut bagi menggantikan terumbu karang semula jadi yang telah mati.

Antara IPT yang berusaha ke arah itu ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru-baru ini melaksanakan projek membina terumbu karang tiruan di dasar laut Pulau Redang, Terengganu.

Menariknya usaha itu mendapat pengiktirafan apabila UPSI berjaya menempa nama dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila struktur yang dibina itu merupakan struktur glob terbesar di kawasan Pusat Taman Laut Pulau Redang.

Dalam satu kenyataan media, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata, struktur terumbu glob itu mempunyai ketinggian tiga meter dengan berat melebihi 1 tan serta kedalaman 11 meter.

Menurutnya, struktur itu diturunkan oleh 10 alumni UPSI diketuai beliau sendiri yang juga alumni institut pendidikan berkenaan.

Md Amin berkata, sebagai institusi pendidikan keramat, UPSI terbina daripada sebuah semangat perjuangan pendidikan.

“Ini membuktikan kecintaan kami, para alumni terhadap universiti bertuah kami,“ katanya pada majlis penerimaan sijil pengiktirafan daripada MBOR di Pulau Redang, Terengganu, semalam.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin berkata, kewujudan struktur terumbu itu akan membantu Jabatan Perikanan dalam usaha pemuliharaan terumbu karang di Taman Laut.

“Terumbu karang di kawasan ini pernah musnah akibat dilanda Taufan Pabuk sekitar Januari 2019,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Alumni UPSI Dr Siti Hartini Azmi berkata, usaha alumni yang terlibat dalam projek struktur glob terumbu karang itu berbaloi apabila menerima pengiktirafan daripada MBOR.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker