Nabila tak cemburu Syihan ramai peminat wanita

KUALA LUMPUR: Ibarat isteri pelakon terkenal!

Mungkin itu gambaran situasi yang perlu diharungi pasangan kepada bintang bola sepak terutama yang berstatus pemain kebangsaan.

Bukan senang, kerana pemain bola sepak juga mempunyai dunia glamor mereka tersendiri yang turut memiliki peminat atau penyokong walaupun tidaklah sehebat artis tersohor.



Banyak sebenarnya dugaan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi isteri kepada pemain bola sepak terkenal terutama dalam era teknologi media sosial.

Kecaman atau pujian peminat kini sudah menjadi perkara biasa buat mana-mana pemain bola sepak termasuk yang berstatus bintang dunia dan perkara itu juga sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada pasangan mereka.

Perkara sama yang dialami penjaga gol kebangsaan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed yang pernah menjadi bahan kecaman dan pujian peminat atau netizen selepas bergelar pemain bola sepak profesional.

Pada 2018, penjaga gol berasal dari Kelantan itu pernah berdepan detik hitam dalam kariernya apabila digantung selama 20 bulan susulan kegagalan dalam ujian doping.



Bulan lalu, dia turut menjadi bahan kecaman di media sosial selepas didakwa cuba melengah-lengahkan permainan ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Malah, tindakannya berdoa di depan pintu gol sebelum perlawanan juga cuba dijadikan perkara negatif oleh sesetengah pihak yang menuduhnya membaca mantera.

Namun, tidak kurang juga ramai yang memuji persembahan cemerlangnya bersama Negeri Sembilan pada perlawanan itu hingga dia dipanggil menyertai skuad kebangsaan selepas itu.

Malah, penampilan sulungnya dalam perlawanan kompetitif bersama Harimau Malaya ketika aksi terakhir Kumpulan E kempen kelayakan Piala Asia 2023 berdepan Bangladesh, 14 Jun lalu mencetuskan pula polemik luar padang mengenai dirinya.



Ia susulan nama Syihan menjadi tular di media sosial selepas wajah tampan penjaga gol berusia 26 tahun itu menarik perhatian ramai peminat wanita khususnya di alam maya.

Ada juga yang melontarkan pertanyaan mengenai bagaimana isteri kepada Syihan, Siti Nabila Syakirin Mat Kashim berdepan dengan pelbagai situasi yang dialami suaminya.

Lebih mesra di sapa Nabila, wanita berusia 27 tahun itu menjelaskan kepada BH Sukan bahawa dia sebenarnya sudah bersedia dengan segala kemungkinan yang terpaksa dihadapi sejak sebelum mereka mendirikan rumah tangga kira-kira lima tahun lalu.

Dia yang turut menjalankan perniagaan produk kosmetik berkata, apa yang berlaku sebenarnya menjadikan hubungan mereka lebih rapat termasuk bersama dua anak, Ameelyn Rose Putri berusia tiga tahun dan Ahmad Rayyan Putra (satu tahun).



“Saya memang ada dengan dia waktu susah dan senang. Setiap kali ada perlawanan atau latihan, saya doakan yang terbaik dan setiap doa saya pasti ada nama dia.

“Masa dia kena kecam saya banyak bersama dia. Mungkin Syihan ada sedikit terkesan sebab membabitkan kariernya dengan ramai yang kecam.

“Tapi kami tetap positif sahaja, tiada masalah. Saya bagi tahu suami juga, apa yang berlaku sebelum ini bagi kami lebih mengenali dunia lagi.

“Saya pun tak ada rasa cemburu atau apa-apa, tapi bila jadi macam ini kami lebih rapat. Saya percayakan dia, dan dia percaya saya. Malah, lepas suami viral, bisnes saya pun bertambah baik.



“Jumlah pengikut di Instagram juga bertambah mendadak yang mana sebelum suami viral, lebih kurang 23,000, sekarang lebih 40,000 pengikut. Itu semua rezeki,” katanya.

Sementara itu, Syihan menganggap kejayaan membantu Malaysia layak secara merit ke Piala Asia selepas 42 tahun dan dengan namanya kini semakin dikenali dalam arena bola sepak negara adalah rezeki dari Allah.

Katanya, semua yang berlaku termasuk kecaman dan pujian dari peminat menjadikannya lebih bersemangat dan berkeyakinan untuk meningkatkan lagi prestasi.

“Terima kasih kepada jurulatih Megat Amir Faisal yang banyak membantu sampai saya ke tahap ini dan juga pemain Negeri Sembilan, penyokong serta keluarga,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button