Awas penjual minyak masak dalam talian!



Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengenakan tiga tindakan ke atas pihak yang menjual minyak masak secara dalam talian, bermula awal tahun sehingga 19 September lalu.

KPDNHEP menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Nilai rampasan berjumlah RM 1,564.90,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 55 pemeriksaan dilakukan di seluruh negara, manakala sembilan aduan diterima dalam tempoh sama.



“Antara kesalahan yang dikesan adalah berurus niaga secara borong dan runcit barang kawalan berjadual itu tanpa lesen sah, dan menyimpan minyak masak di tempat yang tidak dilesenkan,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, KPDNHEP sentiasa memantau aktiviti yang dilakukan secara dalam talian ini melalui kerjasama Shopee, Lazada, Mudah.my dan Grabmart.

“Hasil kerjasama itu, sebanyak 121 iklan berkaitan penjualan barang kawalan berjadual minyak masak secara dalam talian telah dinyah turun pada tahun ini sehingga 19 September lalu,” katanya.

Katanya, KPDNHEP memberi amaran keras kepada semua peniaga yang berurusan dengan barang kawalan dan bersubsidi terutamanya minyak masak.



Pihaknya menegaskan kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam penyelewengan barang kawalan seumpama ini.

“Jika sabit kesalahan, denda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, manakala bagi syarikat, didenda tidak melebihi RM 3 juta,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker