Dr. Adeeba harumkan nama negara



 

Oleh Rohana Man

 

KUALA LUMPUR : Pengarah Pusat Kecemerlangan Penyelidikan AIDS (CERiA) Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman muncul rakyat Malaysia pertama dilantik memegang jawatan Pesuruhjaya Suruhanjaya Global Polisi Dadah, sekali gus mengharumkan nama negara.

Menurut kenyataan Bernama, Dr Adeeba yang juga Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia (MAF) pernah menyandang jawatan Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa (IAS) pertama dari benua Asia.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penasihat Strategik serta Penasihat Teknikal HIV di Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dr Adeeba kini memegang jawatan Pengerusi Bersama Majlis Sains WHO serta Suruhanjaya Kesihatan dan Hak Asasi Manusia di bawah kelolaan IAS dan LANCET, sebuah jurnal perubatan antarabangsa yang disegani.



“Pada April 2015, beliau dianugerahkan ijazah kehormat undang-undang daripada alumninya, Universiti Monash, Australia, sebagai pengiktirafan atas kecemerlangan beliau dalam bidang perubatan dan kesihatan awam,” kata kenyataan itu, semalam.

Kenyataan itu juga menyebut, MAF memaklumkan suruhanjaya itu diwujudkan pada Januari 2011 oleh sekumpulan personaliti dari Amerika Syarikat dan Eropah, termasuk bekas ketua negara dan kerajaan.

Penubuhannya bertujuan menyokong dasar berkaitan dadah berdasarkan bukti saintifik, hak asasi manusia, kesihatan awam dan keselamatan.

Objektif utama suruhanjaya itu adalah untuk mengangkat diskusi mengenai pembaharuan dasar dadah yang lebih berperikemanusiaan dan berkesan serta berlandaskan sains di peringkat antarabangsa.



Ia juga bertujuan mengurangkan kemudaratan akibat tabiat penggunaan dadah, selain dasar kawalan yang terlalu keras ke atas individu dan masyarakat.

Pembaharuan dasar itu juga sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDGs).

Suruhanjaya berkenaan dipengerusikan bekas Perdana Menteri New Zealand, Helen Clark dan barisan pesuruhjaya global yang menganggotainya, termasuk Pemenang Hadiah Nobel, Jose Ramos-Horta; usahawan ternama, Richard Bronson dan bekas ketua-ketua negara yang lain.

Dalam bidang dasar dadah, Dr Adeeba memainkan peranan penting dalam usaha memperbaharui dasar dadah negara sehingga membawa kepada pelaksanaan program pengurangan kemudaratan pada 2006.



Program berkenaan adalah untuk penggunaan dadah secara suntikan dan mencegah jangkitan HIV dalam kalangan individu yang menggunakan dadah, seperti program pertukaran jarum dan picagari serta terapi penyelenggaraan metadon.

Sambil mengalu-alukan Dr Adeeba sebagai pesuruhjaya terbaharunya, Suruhanjaya Global Polisi Dadah turut memuji penglibatan dan komitmen beliau dalam mempertahankan dasar awam yang lebih melindungi hak asasi manusia.

Selain itu, beliau juga berperanan dalam meningkatkan akses kepada rawatan, pencegahan dan jagaan untuk anggota komuniti terpinggir di Malaysia.

 





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker