DTN 2022-2040, pelan persiapan hadapi cabaran

Oleh Azrin Muhammad

PUTRAJAYA – Unit Perancang Ekonomi melancarkan Dasar Tenaga Negara (DTN) 2022-2040 sebagai penyediaan mendepani cabaran kini dan masa hadapan untuk memastikan rakyat menerima bekalan tenaga pada harga rendah serta komited menjaga kemampanan alam sekitar.

Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, DTN merupakan tekad kerajaan menyediakan peluang pekerjaan baharu dan menjadikan sektor tenaga sebagai pemangkin utama kemampanan sosioekonomi.

“Pelancaran DTN 2022-2040 juga dilihat dapat menjadi pendorong dan galakan kepada industri untuk berdaya saing dari segi inovasi serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Aspirasi Rendah Karbon 2040 di bawah DTN juga telah diumumkan merangkumi sembilan sasaran terpilih dengan jangkaan meningkatkan purata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan DTN 2022-2040 dalam satu majlis rasmi yang berlangsung di Putrajaya, petang semalam.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri, Mustapha Mohamed dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Tambah Noraini, Aspirasi Rendah Karbon 2040 dapat meningkatkan purata KDNK sebanyak RM13 bilion setahun dan mewujudkan lebih 207,000 peluang pekerjaan baharu sekiranya ia dilaksanakan secara holistik.

Katanya lagi, Majlis Tenaga Negara yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri juga telah ditubuhkan bagi memastikan inisiatif DTN dapat dilaksana secara berkesan oleh kementerian dan agensi bertanggungjawab berdasarkan akauntabiliti dan peranan masing-masing.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker