Konvokesyen bersemuka UiTM

CAPTION: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Dr. Normah Omar pada Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 di Shah Alam, baru-baru ini. Foto BERNAMA

Oleh Rohana Man

SHAH ALAM – Seramai 23,359 graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima diploma dan ijazah masing-masing dalam Istiadat Konvokesyen Ke-94 (Sesi Jun 2021) yang berlangsung pada 10 September hingga 29 September ini.

Istiadat yang berlangsung secara bersemuka itu dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 10 September lalu.



Majlis konvokesyen tahun ini merupakan yang pertama diadakan secara bersemuka dalam tempoh dua tahun lalu, berikutan pandemik Covid-19.

Istiadat bagi graduan kampus Semenanjung berlangsung di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM Shah Alam pada 10 September hingga 21 September 2022.

Bagi UiTM Cawangan Sarawak, Istiadat Konvokesyen akan diadakan di Dewan Jubli pada 26 dan 27 September 2022.

Manakala UiTM Cawangan Sabah pula menyaksikan Istiadat Konvokesyen berlangsung di Dewan Al-Bukhari pada 29 September 2022.



Memetik laporan Bernama, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 dan dalam ucapan perasmian, baginda bertitah agar mahasiswa dan generasi muda negara dibekalkan dengan ilmu dan pendidikan dalam menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Al-Sultan Abdullah yang juga Canselor UiTM bertitah bahawa graduan perlu mahir menggunakan teknologi terkini yang bukan sahaja untuk tujuan bersosial, malah bagi membuka ruang, sekali gus mencipta masa hadapan yang gemilang untuk negara dan diri sendiri.

Titah baginda, ilmu yang diraih akan membolehkan anak muda mengenali antara kebaikan dan kemungkinan, selain boleh mencipta kesejahteraan sejagat.

“Beta yakin apabila ramai rakyat Malaysia dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan pendidikan, kita akan menjadi lebih bijaksana dalam membuat sebarang keputusan dan tindakan,” titah baginda sempena Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-94 di Dewan Agung Tuanku Canselor UiTM, di sini, baru-baru ini.

Dalam istiadat tersebut, baginda berkenan menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan kepada penerima.

Seramai 106 penerima Ijazah Doktor Falsafah dan 10 penerima Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan diraikan pada sidang pertama istiadat berkenaan.

Turut berangkat ke istiadat tersebut adalah Pro-Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Al-Sultan Abdullah juga bertitah bahawa dunia tidak akan berubah tanpa perkembangan ilmu dan maruah serta harga diri seorang manusia adalah berkaitan dengan ilmu yang dimilikinya.

“Allah SWT berfirman dalam surah Al-Mujadalah ayat ke-11 bermaksud ‘nescaya Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dan orang yang berilmu beberapa darjat.’

“Oleh kerana itu, pembangunan dan kemajuan tamadun sesuatu bangsa sentiasa dihubung kait dan dibatasi dengan tahap penguasaan ilmu serta pendidikan dalam kalangan masyarakat,” titah baginda.

Baginda juga menjelaskan, amat bertepatan pendidikan dijadikan sebagai agenda utama negara yang wajib diperkasa, sesuai mengikut peredaran masa dan zaman.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker