KPT prihatin isu rumah sewa pelajar

CAPTION: Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sedia maklum isu berkaitan kadar sewa rumah/bilik pelajar luar kampus.

Oleh Rohana Man

KUALA LUMPUR – Isu berkaitan pelajar institusi pengajian tinggi tempatan (IPT) yang menghadapi masalah untuk mendapatkan rumah atau bilik penginapan ekoran kadar sewa yang terlalu mahal dan tidak mampu dibiayai mereka mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).



Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad sedia maklum dengan isu yang sedang dihadapi para pelajar terbabit dan akan mengambil tindakan segera bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar luar kampus terpelihara.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dan akan dilakukan dalam usaha kerajaan membantu pelajar IPT menangani perkara tersebut.

Beliau berkata, antara usaha yang telah kementeriannya laksanakan adalah inisiatif Rumah Siswa yang dilancarkan pada tahun lalu.

Menurutnya, inisiatif itu merangkumi beberapa elemen seperti penubuhan Unit Pengurusan Pelajar Luar Kampus (UPLK) dan pembangunan Portal Rumah Sewa Siswa (RSS).



“KPT juga telah meminta UPLK membantu pelajar yang berkeperluan mendapatkan penginapan di luar kampus agar sebarang cabaran yang dihadapi anak-anak pelajar dapat dibantu dan dipermudahkan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Portal Rumah Sewa Siswa (RSS) boleh diakses melalui pautan rumahsiswa.mohe.gov.my.

Portal itu menyediakan platform untuk pelajar mencari dan mendapatkan rumah sewa (rumah/bilik) di kawasan sekitar kampus, sebagai alternatif kepada inisiatif sedia ada.

Mengulas lanjut, Noraini berkata, KPT akan terus memantau pentadbiran Portal RSS bagi memastikan lebih banyak premis untuk penyewaan tersenarai dengan kadar mampu milik bagi memenuhi keperluan pelajar menginap di luar kampus terutamanya bagi persediaan kemasukan Semester Akademik 1, Tahun 2022/2023 tidak lama lagi.



“KPT akan terus komited agar pelajar luar kampus sentiasa mendapat kediaman sejajar dengan aspirasi menjamin kesejahteraaan pelajar di institusi pendidikan tinggi,” tambahnya.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button