MPN tiada kuasa eksekutif untuk urus ekonomi negara

Itu kata-kata daripada bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin iaitu Marzuki Mohamad.

PETALING JAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara.

Bekas Ketua Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi MPN, Marzuki Mohamad berkata, ini kerana ia adalah sebuah majlis yang bersifat advisory atau penasihat.

“Kuasa eksekutif untuk mengurus ekonomi dan negara terletak pada Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan, semua pihak termasuk Muhyiddin yang berperanan sebagai Pengerusi MPN turut bertanggungjawab sekiranya kerajaan didakwa gagal dalam menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.



Beliau berkata, ini kerana usaha memastikan pentadbiran dan pengurusan negara serta ekonomi bukanlah digalas beliau secara individu, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama.

Ia susulan Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, kejatuhan nilai ringgit, kenaikan kadar inflasi dan keadaan ekonomi pasca pandemik memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat, yang mana 61 peratus daripada mereka berada dalam kumpulan berpendapatan terkebawah (B60).

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri itu menyarankan Ismail Sabri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya gagal menguruskan ekonomi dan negara dengan baik.

Marzuki berkata, tahap kepuasan hati rakyat terhadap kedua-dua pemimpin itu yang dijalankan Merdeka Centre for Opinion Research juga menunjukkan angka ketara.



“’Markah’ purata Tan Sri Muhyiddin sepanjang berkhidmat sebagai Perdana Menteri ialah 67 peratus. Ini adalah markah lulus dengan baik. Muhyiddin lulus dengan baik sebagai Perdana Menteri walaupun pada ketika itu beliau memimpin negara mengharungi krisis kesihatan yang paling buruk dalam sejarah negara dan dunia, iaitu Covid-19.

“‘Markah’ atau approval rating Perdana Menteri (Ismail Sabri) telah menurun secara konsisten dengan purata 45 peratus. Tanpa niat untuk menjatuhkan air muka Perdana Menteri, markah di bawah paras 50 peratus ini adalah markah gagal. Beliau mendapat markah gagal secara konsisten sejak awal tahun ini.

“Berdasarkan data inilah Tan Sri Muhyiddin mengatakan Perdana Menteri gagal. Ini adalah penilaian oleh rakyat yang diperolehi menerusi kajian saintifik, bukan tuduhan melulu,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button