Ringgit dijangka semakin tidak menentu minggu depan

KUALA LUMPUR: Ringgit dijangka mengalami lebih banyak ketaktentuan minggu depan menjelang mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 9 Mac.

Ketua Ekonomi & Analisis Pasaran dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata mesyuarat MPC akan datang bakal menjadi acara penting kerana pasaran ingin melihat penilaian terhadap kewangan terkini daripada bank pusat itu.

“Pasaran akan menunggu hasil mesyuarat ini selepas bank pusat membuat keputusan untuk mengekalkan OPR awal tahun ini.

“Sementara itu, akan ada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS pada pertengahan Mac (yang akan memberikan) gambaran yang lebih baik tentang hala tuju kadar dana Fed,” katanya kepada Bernama.

Pada mesyuarat MPC terakhir Januari 2023, BNM mengekalkan kadar dasar yang tidak berubah pada 2.75 peratus selepas membuat kenaikan 100 mata asas kumulatif sejak Mei 2022.

Bagi dagangan yang baru berakhir minggu ini, ringgit kebanyakannya ditutup rendah berbanding dolar AS berikutan kebimbangan terhadap keputusan Fed mengenai kadar faedah serta hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi.

Mata wang tempatan mengakhiri minggu dagangan dengan rendah berbanding dolar AS berikutan kekurangan momentum belian, sejajar dengan sentimen lemah mata wang Asia yang lain.

Pada asas minggu ke minggu, ringgit lebih lemah berbanding dolar AS kepada 4.4765/4780 ketika ditutup Jumaat berbanding 4.4335/4370 pada minggu sebelumnya.

Unit tempatan itu juga susut berbanding sekumpulan mata wang utama berbanding minggu sebelumnya.

Ia jatuh berbanding pound Britain kepada 5.3642/3660 daripada 5.3308/3350 dan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.3255/3269 daripada 3.2970/3001.

Ringgit juga jatuh berbanding euro kepada 4.7487/7503 daripada 4.6933/6970 dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.2877/2890 daripada 3.2804/2833.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker