Ringgit ke paras terendah sepanjang masa RM4.56

KUALA LUMPUR: Nilai ringgit susut ke paras terendah sepanjang masa berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi pembukaan dagangan pagi Rabu, mencecah paras 4.5600 berikutan harga minyak yang lebih rendah selain pengukuhan dolar AS, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.5640/5680 berbanding dolar AS daripada 4.5585/5595 pada penutup semalam.

Ketika ini, penanda aras harga minyak mentah Brent jatuh 0.29 peratus kepada AS$90.36 setong.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata nilai dolar AS kekal menggalakkan dengan jangkaan keputusan kenaikan kadar faedah oleh Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) di AS lewat hari ini.



Beliau menambah, jangkaan pasaran ialah kadar faedah akan dinaikkan sebanyak 75 mata asas kepada 3.25 peratus setahun.

“Sekiranya ramalan ini terbukti betul, kemungkinan dolar akan turun sedikit berbanding ringgit pada mulanya, memandangkan pasaran telah pun mengambil kira senario ini.

“Sebaliknya, jika Rizab Persekutuan AS menaikkan kadar faedah lebih daripada jangkaan kepada 3.5 peratus setahun, dolar boleh meneruskan pergerakan menaiknya berbanding ringgit ke arah paras 4.6000,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.



Ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1758/1788 daripada 3.1725/1734 pada penutup semalam dan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2357/2388 daripada 3.2341/2353 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan menambah nilai berbanding pound Britain kepada 5.1893/1938 daripada 5.2049/2060 pada Selasa dan meningkat berbanding euro kepada 4.5462/5502 daripada 4.5608/5618 sebelumnya.

-BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker