Bekas Naib Canselor UPSI lepas, bebas salah guna kuasa

Oleh – Syeikh Baran


Bekas Naib Canselor UPSI lepas, bebas salah guna kuasa
Zakaria (berkerusi roda) bersama barisan peguamnya di Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini.

Bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini daripada tuduhan salah guna kuasa iaitu memasukkan nama anak lelakinya untuk ditemuduga di universiti berkenaan 10 tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail selepas membenarkan rayuan akhir Zakaria, 67, selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM10,000 yang diputuskan Mahkamah Tinggi Ipoh.

Dalam keputusannya, Hakim Hadhariah berkata, mahkamah mendapati keterangan yang dikemukakan tidak memenuhi intipati pertuduhan di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.



“Perayu (Zakaria) dikatakan memasukkan nama saksi pendakwaan kesembilan (SP9), Mohd. Fauzi Zakaria (anak perayu) untuk dipanggil temu duga. Namun ia berbeza dengan keterangan saksi pendakwaan keempat (pembantu tadbir UPSI) dan saksi pendakwaan kelima (pegawai tadbir UPSI) yang menyatakan SP9 ada membuat permohonan secara dalam talian dan beliau layak untuk menghadiri temuduga.

“SP4 dan SP5 juga menyatakan mereka tidak dipengaruhi oleh perayu untuk membuat keputusan mengangkat nama SP9 untuk hadir temu duga.

“Berdasarkan keterangan SP4 dan SP5, kami mendapati sabitan ke atas perayu tidak selamat, oleh itu sabitan dan hukuman oleh hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan perayu dilepas dan dibebaskan,” katanya.

Dua lagi hakim yang turut bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin.



Mengiku pertuduhan, Zakaria didakwa sebagai Naib Canselor UPSI telah menggunakan jawatannya berhubung perkara yang beliau mempunyai kepentingan, apabila mengarah Mohd. Faizi Othman iaitu pendaftar UPSI, untuk memasukkan nama anak lelakinya, Mohd Fauzi untuk dipanggil temuduga pada 12 September 2014.

Kesalahan itu dilakukan di bilik Naib Canselor, Pejabat Naib Canselor, Bangunan Canselor, UPSI, Tanjung Malim antara pukul 9 pagi dan 12 tengah hari pada 24 Jun dan 12 September 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Pada 3 Disember 2019, Mahkamah Sesyen Ipoh melepas dan membebaskan Zakaria daripada pertuduhan  itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh di akhir kes pendakwaan.

Pihak pendakwaan kemudian mengemukakan rayuan untuk mengetepikan keputusan tersebut dan Mahkamah Tinggi Ipoh dan pada 2 Jun 2023 membenarkan rayuan itu serta menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan serta denda RM10,000 ke atas Zakaria.

Dalam prosiding hari ini, pasukan pembelaan terdiri daripada peguam-peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud, Shahidah Muslimah Roslan, Hasshahari Johari Mawi, Mohd. Radzlan Jalaludin, Muhamad Hafizan Shafuan Kamarulzaman.

Sementara Timbalan Pendakwa Raya Atiqah Abdul Karim dan Maziyah Mansor selaku responden mewakili pihak pendakwaan.

Terdahulu, Awang Armadajaya dalam hujahannya berkata, saksi pendakwaan pertama (pendaftar UPSI) adalah saksi yang tidak kredibel kerana keterangannya bercanggah dengan keterangan saksi pendakwaan keempat dan kelima.

Menurut peguam itu, arahan anak guamnya kepada pendaftar UPSI berkenaan iaitu ‘tolong tengok-tengokkan’ merupakan arahan yang tidak terjumlah kepada suatu kesalahan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Atiqah berkata nama anak perayu dimasukkan dalam senarai temu duga adalah atas permintaan perayu, walhal perayu dan SP1 mengetahui anak perayu tidak melepasi tapisan awal dan tidak layak untuk dipanggil temu duga.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker