Agong, Permaisuri zahir takziah kepada keluarga Mohd Adib

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ketua Menteri Melaka kelima, Datuk Seri Mohd Adib Mohamad Adam yang kembali ke Rahmatullah semalam.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap seluruh keluarga sabar serta tabah menghadapi dugaan dan suasana sedih dan pilu itu.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah juga mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin.

“Seri Paduka berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada masyarakat dan negara, dan menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada negeri Melaka,” menurut catatan itu.

Jenazah Mohd Adib, 81, selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Bukit Palah, Melaka malam tadi.

Selain menjadi Ketua Menteri Melaka dari 11 Julai 1978 hingga 26 April 1982, Mohd Adib juga pernah memegang jawatan Menteri Penerangan dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker