Liverpool miliki mentaliti ‘raksasa’ – Gerrard

LONDON: Steven Gerrard memuji skuad Liverpool ketika ini yang disifatkannya mempunyai mentaliti ‘raksasa’.

Legenda The Reds itu percaya kekuatan mental dimiliki barisan pemain kendalian Jurgen Klopp adalah faktor yang membezakan dengan pasukan ketika dia bergelar pemain.

Gerrard memenangi trofi Liga Juara-Juara pada 2005 tetapi gagal menjuarai gelaran Liga Perdana Inggeris sepanjang tempoh kerjayanya di Anfield dengan paling hampir adalah muncul naib juara pada 2009 dan 2014.

Liverpool sekali lagi sekadar berpuas hati dengan gelaran naib juara pada 2019 tetapi ketika itu mereka berjaya mengumpul mata tertinggi dalam saingan semusim dan ketiga tertinggi dalam sejarah bola sepak Inggeris.



Malangnya, ia masih belum cukup untuk menamatkan penantian mereka merekodkan gelaran ke-19 liga dengan Manchester City berkelebihan satu mata untuk dinobatkan sebagai juara.

Bagaimanapun, anak buah Klopp tidak berputus asa apabila mereka menjuarai saingan Liga Juara-Juara pada musim itu – Liverpool turut mara ke final setahun sebelum itu.

The Reds memulakan kempen musim 2019/2020 dengan penuh bergaya apabila memenangi gelaran Piala Super UEFA dan Piala Kelab Dunia.

Malah, sebelum saingan liga ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, Liverpool selesa berada di tangga teratas liga dengan kelebihan 25 mata di depan City dan hanya memerlukan enam mata lagi bagi muncul juara.



“Mereka (skuad Liverpool ketika ini) sudah mencetuskan fenomena sejak beberapa tahun lalu. Tahun lalu, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tidak muncul juara.

“Ketika itu, terbukti City lebih baik. Namun, mereka menjadi lebih kuat setiap tahun.

“Satu faktor yang membuatkan saya terpesona berbanding ketika saya bermain adalah kekuatan mental yang dimiliki seluruh pasukan.

“Daripada pemain pertama hinggalah ke-26, semuanya memiliki mentaliti seperti raksasa. Mereka semua bersatu hati,” kata Gerrard.



Gerrard juga percaya pasukan yang ada sekarang dijangka mendominasi saingan liga untuk tempoh beberapa tahun akan datang. – Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button