Arsenal harap tiga tonggak kembali cergas

LONDON: Arsenal berharap Martin Odegaard, Oleksandr Zinchenko dan Reiss Nelson akan kembali cergas menjelang pertemuan tetangga London Utara dengan Tottenham Hotspur di Stadium Emirates 1 Oktober ini.

Odegaard dan Zinchenko tidak beraksi ketika kemenangan 3-0 ke atas Brentford hujung minggu lalu akibat kecederaan.

Zinchenko, yang cedera di bahagian betis ketika latihan, turut tidak beraksi untuk skuad kebangsaan Ukraine yang tewas 3-0 kepada Scotland dalam saingan Kumpulan B1 Liga Negara-Negara UEFA di Glasgow awal pagi tadi.



Sementara itu pengendali Norway, Stale Solbakken berkata, keadaan Odegaard juga belum dapat dipastikan.

“Kami sentiasa berhubung dengannya dan (Mikel) Arteta. Belum ada keputusan, tetapi masih ada harapan.

“Dia dalam jagaan mereka sekarang. Keadaannya kurang baik buat masa ini. Kini kami hanya menunggu sama ada dia dapat beraksi untuk satu atau dua perlawanan.

“Kami akan bertemunya di Norway, sama ada sebagai pemain atau ‘jurulatih keempat’. Amat bermakna untuk dia berada di sini,” kata Solbakken.



Odegaard tidak dipanggil untuk skuad Norway bagi perlawanan Liga Negara-Negara UEFA menentang Slovenia dan Serbia bulan ini, tetapi peluang masih ada sekiranya dia sempat sembuh.

Ketiadaan Odegaard memberi peluang buat Fabio Vieira mendapat penampilan sulung penuh Liga Perdana Inggeris di Stadium Komuniti Brentford dan dia menjaringkan gol ketiga Gunners menerusi rembatan jarak jauh.

Nelson juga dijangka akan kembali beraksi pada perlawanan menentang Spurs selepas cedera di bahagian paha pada Ogos lalu.

Mohamed Elneny hanya akan pulih tahun depan selepas kecederaan serius di bahagian hamstring, manakala Thomas Partey kembali membarisi kesebelasan utama ketika menentang Brentford.



Arsenal kekal di puncak Liga Perdana Inggeris selepas tujuh perlawanan dan mampu menjarakkan diri kepada empat mata ke atas Tottenham di tangga ketiga jika menang 1 Oktober nanti.

AGENSI

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button