Polis berkas tiga penjenayah samun wanita

Oleh – Syeikh Baran


Polis berkas tiga penjenayah samun wanita
Polis menahan tiga penjenayah dipercayai terlibat kes samun seorang wanita di tepi Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan pada 7 Mac lalu. – Foto IHSAN POLIS

Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menahan tiga lelaki berhubung kes samun seorang wanita di tepi Jalan Tuaran Bypass berhampiran Kampung Rampayan pada 7 Mac lalu.

Ketua JSJ IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner (SAC) Azmi Abd Rahim memaklumkan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 24 hingga 36 tahun itu ditahan kelmarin, dalam tiga serbuan berasingan di Kampung Pulutan dan Kampung Darau.



Katanya, hasil soal siasat yang dijalankan mendapati semua suspek mengaku terbabit melakukan kes samun berkenaan.

“Penglibatan suspek turut disahkan menerusi pengecaman gambar oleh mangsa wanita berusia 37 tahun.

“Penahanan ketiga-tiga suspek membawa kepada rampasan sebuah kereta Proton Wira, Aeroback, beg sandang jenama Michael Kors, sebentuk anting-anting serta beberapa barangan lain.

“Turut dirampas pelbagai peralatan termasuk pencungkil tayar, pemutar skru, spanar dan tukul besi,” katanya ketika dihubungi.



Menurut Azmi, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, seorang wanita mengalami kerugian RM5,000 apabila disamun tiga lelaki ketika berehat di tepi Jalan Tuaran Bypass selepas perjalanan jauh dari Sipitang dalam kejadian 7 Mac lalu.

Dalam kejadian pukul 4.30 pagi itu, mangsa turut mengalami kecederaan di kedua lengan selepas bergelut dengan ketiga-tiga suspek terlibat.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button