Dua rakan sekerja maut, motosikal bertembung lori

KLANG: Dua rakan sekerja maut selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar sebuah lori di Kilometer 3.4 Lebuhraya Selat Klang Utara menghala ke Bandar Sultan Suleiman, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian kira-kira jam 9 malam itu, mangsa dalam perjalanan pulang ke tempat kerja selepas selesai urusan di luar.

“Kemalangan ini membabitkan sebuah lori yang datang dari arah Shah Alam menghala ke Bandar Sultan Suleiman manakala motosikal ditunggangi mangsa dari arah (Shapadu Lama) Rantau Panjang menghala ke Bandar Sultan Suleiman.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal mangsa mengubah haluan merapat ke kiri masuk ke laluan lori.



“Pada masa sama, lori terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

“Siasatan mendapati, penunggang motosikal dijumpai tergilis di tayar hadapan sebelah kiri lori manakala pembonceng dijumpai di belakang lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Vijaya Rao berkata, siasatan mendapati kedua-dua mangsa adalah lelaki warga tempatan di mana penunggang, 41 tahun dan pembonceng, 18 tahun adalah rakan sekerja di Bandar Sultan Suleiman.

“Mayat kedua-dua dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan saringan COVID-19 diperolehi hari ini,” katanya.



Beliau berkata, pemandu lori yang berumur 27 tahun dan beralamat di Tanjong Sepat itu tidak mengalami kecederaan dan akan membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan.

Sementara itu, Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya yang tiba di lokasi pada jam 9.29 malam mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan sebuah motosikal.

“Akibat kemalangan itu, salah seorang mangsa tersepit di bahagian hadapan bawah lori dan bomba berjaya mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker