Kuartet 4x100m wanita pecah rekod kebangsaan

PHNOM PENH: Kuartet ‘berhijab’ mencipta sensasi di bumi Kemboja apabila meraih kejayaan berganda dengan membawa pulang gangsa selain turut memecah rekod kebangsaan dalam acara 4×100 meter (m) wanita, di Stadium Morodok Techo, sebentar tadi.

Larian bertenaga dipamerkan Azreen Nabila Alias selaku pelari pertama diikuti Zaidatul Husniah Zulkifli, Nur Afrina Mohd Rizal dan Nur Aishah Rofina Aling menghadiahkan pingat gangsa buat kem olahraga negara dengan catatan 44.58 saat(s).

Catatan masa itu sekali gus memadam rekod lama 45.18s yang dicipta Nurul Faizah Asma Mazlan, Siti Fatimah Mohamad, S Komalam Shally dan Zaidatul Husniah di Kejohanan Olahraga Asia ke-22 di Kalinga Stadium, Odisha, India pada 2017.



Pingat emas dimenangi kuartet Thailand dengan catatan masa 44.24s manakala Vietnam membawa pulang perak (44.51s).

Sementara itu, Zaidatul Husniah berkata, kuartet 4×100 wanita negara sememangnya meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan yang dicipta pada tahun 2017.

“Kami memang meletakkan sasaran untuk perbaharui rekod kebangsaan dan jika mendapat pingat adalah bonus. Sudah pasti kami gembira walaupun mengakhiri perlumbaan dengan pingat gangsa.

“Perkara penting adalah kehadiran saya dalam kuartet 4×100 wanita dapat membantu pelari baharu seperti Afrina dan Aishah yang kali pertama beraksi di pentas Sukan Sea,” kata Zaidatul Husniah.



Sementara itu, kuartet 4×100 lelaki tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut merangkul pingat gangsa dalam acara berkenaan.

Kuartet negara terdiri daripada Khairul Hafiz Jantan, Muhammad Haiqal Hanafi, Jonathan Nyepa dan Muhammad Zulfiqar Ismail mengakhiri saingan di tempat ketiga dengan catatan masa 39.36s.

Kuartet Indonesia memenangi acara berkenaan dengan rekod 39.11s manakala perak pula milik Thailand.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button