‘Orang Islam diserang di India sudah jadi perkara biasa’

‘Orang Islam diserang di India sudah jadi perkara biasa’

‘Orang Islam diserang di India sudah jadi perkara biasa’
PIHAK berkuasa India merobohkan rumah milik penduduk Islam di Uttar Pradesh pada Jun lalu. – AGENSI

LONDON: Amnesty International mengecam tindakan sejumlah anggota polis di di negeri Gujarat, barat India yang memukul beberapa lelaki beragama Islam menggunakan batang kayu secara terbuka di khalayak ramai.

Pertubuhan itu menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan hak asasi manusia yang serius dan menunjukkan penguatkuasa sendiri ‘tidak menghormati undang-undang’.

Satu video tular menunjukkan beberapa lelaki Islam diikat pada tiang dan dipukul menggunakan batang kayu oleh sekumpulan anggota polis berpakaian preman di perkampungan Udhela di daerah Kheda.

Ketika itu, orang ramai turut menyaksikan kejadian tersebut, termasuk wanita dan kanak-kanak yang ‘bersorak’ apabila kesemua lelaki Islam itu mengerang kesakitan selepas dipukul.



Insiden itu bermula selepas kesemua lelaki Islam berkenaan didakwa membaling batu dalam satu acara keagamaan Hindu, sebelum mereka diminta memohon maaf kepada orang ramai selepas dipukul.

“Penggunaan alat pukulan seperti kayu oleh polis Gujarat untuk memukul beberapa lelaki Islam yang diikat pada tiang adalah pencabulan hak asasi manusia yang amat serius dan menunjukkan anggota penguatkuasa sendiri tidak menghormati undang-undang.

DISYORKAN UNTUK ANDA :


“Kami ingin mengingatkan polis Gujarat bahawa hukuman tidak pernah menjadi objektif yang sah untuk tindakan penguatkuasaan undang-undang, walaupun menggunakan senjata yang tidak menyebabkan maut.

“Dalam kes ini, secara terang-terangan anggota penguatkuasa sendiri mengabaikan tanggungjawab sebenar mereka,” jelas pertubuhan itu menerusi Twitter.



Gujarat merupakan satu daripada negeri di India yang ‘paling mengamalkan polarisasi’, menyaksikan rusuhan agama ganas pada 2002 yang menyebabkan lebih 2,000 orang terkorban dengan kebanyakannya penduduk Islam.

Ketegangan agama di India semakin memuncak sejak parti pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) memegang tampuk pentadbiran negara pada 2014.

Menurut Amnesty, kerajaan baharu ‘mempunyai peluang untuk memecahkan kebencian dan ketidakadilan agama’ di India.

BALING BATU

Jurucakap polis Kheda, Rajesh Gadhiya berkata, kesemua lelaki Islam yang dipukul dalam video itu didapati bersalah membaling batu ke arah penganut Hindu yang mengikuti upacara keagamaan di Garba.



Katanya, mereka membaling batu kerana membantah acara tersebut yang diadakan berhampiran dengan masjid.

“Insiden itu menyebabkan tujuh penganut Hindu cedera akibat terkena batu dan kami sudah failkan kes terhadap 43 orang dengan 18 sudah ditahan setakat ini,” katanya.

Ditanya adakah polis dibenarkan memukul penduduk Islam secara terbuka di khalayak umum, Gadhiya memaklumkan pihaknya akan menyiasat perkara tersebut.

SASARAN KEGANASAN

Dalam pada itu, ahli politik dan aktivis Islam menyifatkan insiden itu sebagai ‘cara baharu’ kerajaan India mengiktiraf komuniti Islam di negara ini.



Ahli politik pembangkang, Imran Khedawala memaklumkan, BJP ‘sengaja mencetuskan ketegangan agama’ menjelang pilihan raya umum dan anggota polis yang terlibat dalam insiden itu perlu dihukum sewajarnya.

Diskriminasi dan keganasan terhadap komuniti Islam tidak setakat berhenti di situ apabila rumah golongan tersebut juga diruntuhkan pihak berkuasa di Madhya Pradesh selepas didakwa membaling batu terhadap penganut Hindu.

Ahli Parlimen, Asaduddin Owaisi yang turut menyelar insiden itu menyatakan, setiap hari, semakin banyak bukti menunjukkan komuniti Islam ditindas.

“Serangan terhadap komuniti Islam dilihat ‘perkara biasa’, namun jika orang Hindu ambil tindakan, mereka akan terlepas tanpa sebarang hukuman.



“Komuniti Islam di negara ini boleh diibaratkan seperti rakyat Palestin yang ditindas Israel. India bukan lagi negara yang ditadbir oleh undang-undang, sebaliknya dikuasai samseng jalanan yang obses dengan agama,” tegasnya. – AGENSI

Ketiadaan Calon Punca PH Takut Hadapi PRU 15

 



‘Orang Islam diserang di India sudah jadi perkara biasa’


DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :



Ketiadaan Calon Punca PH Takut Hadapi PRU 15

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button