LTdL kekal status Pro Series

Kuala Lumpur: Saingan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) kekal berstatus Pro Series apabila permohonan dilakukan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengenai perkara itu diluluskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI). Mesyuarat yang berlangsung di Wollongong, Australia itu bersetuju mengekalkan status itu dalam kalendar UCI dari 2023 sehingga 2025.

Menurut Naib Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yang juga ahli Jawatankuasa Pengurusan UCI berkata, keputusan itu adalah secara sebulat suara yang dilakukan Lembaga Pengarah untuk mengekalkan status berkenaan.

“Ketika mesyuarat, saya menekankan yang LTdL adalah salah satu Jelajah di Asia yang sudah lama dibentuk di Asia, menonjol dan memainkan peranan penting dalam pembangunan berbasikal di rantau ini serta dunia. Sebab itulah status Pro Series ini dikekalkan,” kata Amarjit dalam satu kenyataan hari ini.

Amarjit dalam pada itu berkata, beliau gembira apabila wakil yang hadir menerima permohonan berkenaan menyaksikan keputusan sebulat suara diputuskan oleh Ahli Lembaga UCI bagi mengekalkan status Pro Series.

Dengan Pro Series dikekalkan, LTdL bakal menjadi salah satu perlumbaan utama yang memegang status berkenaan.

Sebelum ini, PKBM mengemukakan permohonan pengekalan status berkenaan pada Julai lalu.

LTdL 2022 dijadual berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini dengan penyertaan enam pasukan World Tour seperti Lotto Soudal, Movistar, Cofidis, EF Education-Easypost dan Astana Qazaqstan.

Pro Series mula diperkenalkan pada 2019 dengan status berkenaan ‘ditauliahkan’ kepada LTdL selama tiga tahun dari 2020 sehingga 2022.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker