Melaka United mohon maaf



MELAKA: Melaka United FC akan mengambil iktibar terhadap pembatalan slot beraksi dalam Piala Malaysia 2022 bagi memastikan pasukan berkenaan dapat terus bersaing dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Melaka United FC, dalam kenyataan malam ini, memaklumkan kelab masih berusaha untuk menyelesaikan semua masalah dihadapi dan percaya krisis yang berlaku ketika ini dapat diselesaikan jika semua pihak bersama-sama membantu memastikan kebajikan pemain, jurulatih dan pegawai pasukan.

“Proses penstrukturan saham dan mendapatkan dana daripada pihak berkepentingan yang masih belum selesai ini juga menyebabkan pihak pengurusan kelab membuat keputusan supaya perkara ini dapat diselesaikan terlebih dahulu dan keutamaan diberikan untuk Melaka United FC kekal berada di Liga M tahun hadapan.

“Kelab memohon maaf kepada semua pemain, jurulatih dan pegawai yang terlepas untuk beraksi dalam saingan berprestij bola sepak negara iaitu Piala Malaysia musim ini serta penyokong dan peminat yang menjadi tulang belakang pasukan selama ini,” menurut kenyataan itu.



Terdahulu hari ini, Melaka United FC tidak dibenarkan beraksi dalam Piala Malaysia 2022 susulan kegagalan melunaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dalam kenyataan, memaklumkan Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan itu berikutan kelab berkenaan gagal menyelesaikan bayaran tunggakan gaji seperti tarikh yang ditetapkan.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker