Melancong ke luar negara boleh jejaskan aktiviti pelancongan domestik

KUALA LUMPUR – Kecenderungan rakyat negara ini yang lebih memilih melancong ke luar negara sedikit sebanyak boleh menjejaskan aktiviti pemain industri pelancongan tempatan terutamanya yang beroperasi berhampiran sempadan negara seperti Langkawi.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Bumiputera Perak Zamari Muhyi berkata bercuti ke luar negara akan menyebabkan lebih banyak aliran keluar mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang dilihat boleh memberi impak kepada industri pelancongan di dalam negara.

“Orang kita mungkin sudah dua tahun melancong dalam Malaysia, jadi mungkin itu sebabnya mereka memilih untuk keluar (negara) sekejap. Mungkin mereka merasakan keluar dua atau tiga hari sahaja, tetapi hal ini sebenarnya memberikan kesan kepada industri kita,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata apabila trend bercuti ke luar negara khususnya Thailand semakin meningkat tidak dinafikan industri pelancongan domestik akan menurun, bagaimanapun tiada siapa boleh menghalang rakyat negara ini daripada melancong ke mana-mana destinasi pilihan termasuk luar negara.



“Namun, pemain industri pelancongan tempatan boleh menarik nafas lega kerana menerima pelancong dari luar negara seperti Singapura yang masih memilih untuk bercuti di negara ini sekali gus mengisi kekosongan yang ditinggalkan pelancong tempatan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel mencadangkan agar kerajaan menambah jumlah insentif kepada pembayar cukai yang melancong di dalam negara bagi merancakkan kembali sektor pelancongan domestik.

“Kita cadangkan kerajaan untuk Bajet 2023 supaya beri insentif ataupun rebat cukai untuk pelancong domestik. Kalau melancong di dalam negara, dapat potongan cukai yang lebih tinggi iaitu daripada RM1,000 kepada RM3,000,” katanya.

Beliau percaya inisiatif itu akan dapat kembali merancakkan sektor pelancongan domestik yang secara tidak langsung akan menarik kedatangan pelancong dari luar untuk datang ke negara ini.



“Di Malaysia sendiri ada banyak tempat pelancongan bertaraf dunia untuk dilawati, tapi kita masih tak nampak pelancong asing masuk ke negara kita. Bila rakyat kita melancong di dalam negara, orang asing akan nampak aktiviti pelancongan kita dah mula,” katanya.

Bagi ‘kaki travel’ Muhammad Haikal Zulkifli, 22, keinginan untuk melihat dan merasai sendiri budaya negara lain adalah faktor utama kebanyakan rakyat Malaysia memilih untuk melancong ke luar negara.

Selain itu, Muhammad Haikal yang bekerja sebagai perunding hartanah tidak menafikan bahawa kos yang lebih murah untuk perkhidmatan yang lebih baik mungkin turut menyumbang kepada keadaan itu.

Media baru-baru ini melaporkan ramai rakyat Malaysia memilih untuk me-lancong ke Hatyai, Thailand pada hujung minggu dan cuti sekolah atas faktor kos beli-belah dan makanan ditawarkan pada harga yang murah berbanding destinasi pelancongan popular di dalam negara.

Malah, negara Gajah Putih itu juga dikatakan menawarkan penginapan pada harga murah meskipun terletak di tengah-tengah pusat bandar selain kemudahan pe-ngangkutan yang mudah dan murah serta jaringan jalan raya yang selesa menjadi faktor ramai rakyat Malaysia berpusu-pusu ke sana.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker