Penyelidik UMK temui batu kristal kuarza



(Nur Ain Wahidah Mohammad Razali menunjukkan batu kristal yang ditemui di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) di Ulu Cheka, Jerantut, Pahang baru-baru ini)

Oleh Rohana Man

JERANTUT – Empat penyelidik dari Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) yang menyertai Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka selama lima hari yang berakhir pada Rabu lalu menemui batu kristal kuarza.

Penemuan batu kristal kuarza tanpa warna itu berukuran empat hingga empat perpuluhan lima sentimeter dan berat 150 gram.



Kesemua batu itu ditemui di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Pensyarah Kanan UMK, Dr. Elvaene James berkata, beliau tidak menyangka akan menemui batu kristal dalam kawasan hutan tadahan air itu bersama tiga penuntutnya, Shuhada Farhana Roslan, Nur Ain Wahidah Mohammad Razali dan Muhammad Aiman Fikri Mohd Sena.

“Saya tidak menolak kemungkinan terdapat banyak batu kristal dalam kawasan hutan simpan ini yang mampu memberi sumber pendapatan sampingan kepada penduduk setempat.

“Kalau kita lihat saiz batu di sini, ia lebih besar berbanding batu kristal yang ditemui di kawasan Lojing, Kelantan,” katanya.



Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Ekspedisi Kepelbagaian Biologi Hutan di Hutan Simpan Jerantut (Tambahan) Ulu Cheka, Rabu lalu.

Majlis penutup itu disempurnakan Ketua Penolong Pengarah (Pembangunan), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Rosilan Said.

Kesemua penyelidik terbabit terdiri daripada pensyarah dan penuntut UMK termasuk pegawai agensi kerajaan yang melakukan kajian dalam bidang tumbuhan, haiwan, kualiti air, flora, mamalia, sektor pelancongan, geologi dan serangga.

Mengulas lanjut, Dr. Elvaene berkata, batu kristal itu ditemukan di kawasan yang terdapat laluan air dan banyak batu besar.



“Penduduk mendakwa kawasan terbabit pernah dilanda kejadian kepala air.

“Untuk sampai ke tempat itu, mengambil masa kira-kira sejam berjalan kaki,”ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JPNP, Datuk Samsu Anuar Nawi berkata, ekspedisi berkenaan diadakan bagi mengkaji dan menilai kawasan hutan simpan berkenaan.

Menurutnya, hasil kajian tersebut akan dibukukan agar boleh dijadikan rujukan kepada kerajaan Pahang untuk tindakan pada masa akan datang.



Beliau menjangkakan beberapa penemuan baharu hasil ekspedisi itu dapat ditemui terutama melibatkan tumbuhan Rafflesia dan batu-batan.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker