Hargailah bakat kami – Azlee

 

Oleh Razak Hasan

Hargailah bakat kami - Azlee
Azlee sedih dengan nasib menimpa rakan seperjuangan, malah pernah berdepan perkara sama apabila bayaran tidak setimpal.

Anggota kumpulan Senario, Azlee, 57, kecewa dengan tindakan segelintir penerbit tidak memandang serius isu bayaran pelakon veteran.

Azlee yang sudah membintangi lebih 30 filem sejak 1999 berkata, dia sedih dengan nasib menimpa rakan seperjuangan, malah mengakui pernah berdepan perkara sama.

“Kepada penerbit dan pengurus produksi, tahulah anda keluar duit, tapi hargailah bakat kami. Kalau boleh buatlah semak dan imbang sebab saya banyak dengar ada artis veteran dibayar begitu murah.

“Disebabkan itu, saya rasa amat sedih sebab seolah-olah mereka tak hargai bakat pelakon ‘otai’.

“Saya juga pernah berdepan situasi ini. Saya pernah dapat tawaran menjayakan watak agak penting dan produksi mahu bayar RM500 sehari. Jangan sewenang-wenangnya ambil kesempatan ke atas pelakon ‘otai’, tanpa yang lama, tiada yang baharu.

“Kalau di Hollywood, pelakon lama lagi mahal bayaran, tapi Malaysia pula terbalik,” katanya ditemui pada sidang media kempen sempena sambutan Aidilfitri anjuran Suria FM, Raikan Yang Dirai di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

Hargailah bakat kami - Azlee
Azlee beritahu pelakon veteran tak letak harga terlalu tinggi, sebaliknya sesuai dengan pengalaman dan kemampuan dimiliki. 

Azlee atau nama sebenarnya, Muhammad Azlee Jaafar turut mendedahkan ibu saudaranya yang juga pelakon veteran, Wan Maimunah pernah berdepan situasi sama apabila ditawarkan bayaran murah dan tidak setimpal dengan bakal lakonan dimiliki.

“Kadang-kadang saya dengar ramai artis veteran mengeluh dan mengadu mengenai bayaran. Tolonglah hargai bakat mereka.

“Mereka tidaklah mengadu dengan saya, tapi banyak perkongsian dibaca, malah ibu saudara, Wan Maimunah pun pernah kena perkara sebegini.

“Dia cakap pernah terima bayaran tak setimpal. Kenapa sampai begitu tahapnya sedangkan dia adalah pelakon serba boleh,” katanya.

Pada masa sama, Azlee menjelaskan, sebagai pelakon veteran, mereka tidak meletakkan harga terlalu tinggi, sebaliknya sesuai dengan pengalaman dan kemampuan dimiliki.

“Kami sebagai pelakon ‘otai’ tidaklah menekan harga yang terlalu tinggi. Tapi, perlulah buat semak dan imbang.

“Kita mesti tahu, kalau bawa watak utama, mesti dapat bayaran yang setimpal. Bayaran ini biarlah berbaloi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Azlee terbabit dalam drama Aidilfitri terbitan Suria FM berjudul Suami Raya, selain bakal menjalani penggambaran filem Senario The Legend di bawah arahan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri bersama anggota Senario lain. – Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker