Senarai menunggu kereta ditempah boleh cecah setahun

KUALA LUMPUR: Pembeli mungkin perlu mengambil masa lebih lama untuk mendapatkan kereta yang ditempah dengan senarai menunggu syarikat-syarikat automotif dianggarkan mencecah antara tujuh hingga 12 bulan.

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry, berkata jumlah tempahan yang amat memberangsangkan itu memberikan jaminan pendapatan yang sihat untuk sektor automotif menuju ke tahun depan.

Tambahan lagi, beliau berkata tempahan baharu selepas tempoh pengecualian cukai berakhir adalah agak memberangsangkan, apabila secara purata hanya mencatatkan pengurangan antara 20 hingga 30 peratus berbanding purata tempahan bulanan semasa tempoh cuti cukai.

“Tempahan baharu bermula dari Julai dan seterusnya mungkin dimasukkan kepada jumlah jualan industri (TIV) bermula April 2023 dan selanjutnya, sekali gus mengukuhkan lagi jaminan pendapatan daripada tempahan kukuh ke hadapan,” katanya dalam satu nota penyelidikan.



Firma penyelidikan pasaran itu mengekalkan pandangan positif terhadap sektor automotif.

Hafriz menjelaskan, tanpa mengambil kira pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) dan inflasi lebih tinggi, prospek sektor automotif dipengaruhi oleh jumlah tempahan yang tinggi, selain pasaran pekerjaan dan pendapatan isi rumah yang semakin bertambah baik.

Berjaya Auto, MBM Resources dan UMW adalah pilihan utama bagi sektor ini, katanya.

“Berjaya Auto mendapat manfaat daripada pengembangan jenama daripada pengambilalihan francais Kia dan Peugeot, membolehkannya melakukan pertumbuhan berstruktur ke dalam penguasaan pasaran dan melebihi pertumbuhan industri.



“MBM Resources dan UMW pula kedua-duanya adalah proksi utama kepada pemulihan sektor ini, berikutan pendedahan kepada PERODUA (dan Toyota bagi UMW), yang sekali gus menguasai pasaran terbesar dalam industri.

“Risiko utama kepada saranan kami (terhadap sektor automotif) adalah inflasi yang berpanjangan dan tinggi, penurunan dalam pemulihan ekonomi dan ringgit lebih lemah daripada jangkaan,” katanya.

Menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA), TIV pada bulan Ogos adalah 66,614 unit, 36 peratus lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Mengikut perbandingan bulanan, kebanyakan pengeluar kereta mencatat peningkatan jualan

yang didahului oleh PERODUA dan PROTON apabila pengeluaran berkembang sebanyak 33 peratus.

Sementara itu, Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, berkata tempahan memulih beransur-ansur dan akan terus bertambah baik baik apabila pengguna menyesuaikan diri dengan harga kereta pasca pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Beliau berkata, dengan Bajet 2023 akan dibentangkan tidak lama lagi, kerajaan dijangka memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung reformasi duti eksais yang hendak dilaksanakan pada 2023.

“Seiring dengan agenda kelestarian, kerajaan mungkin juga memperkenalkan insensif untuk merangsang penggunaan dan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di pasaran tempatan, yang mungkin membabitkan insentif bagi mendorong bilangan stesen pengecas EV, mendorong pemasangan EV di pasaran tempatan oleh pengeluar peralatan tulen dan tempoh bebas cukai lebih lama untuk pembelian EV,” katanya.

RHB Investment Bank menaikkan unjuran TIV tahun ini kepada 650,000 unit, lebih tinggi berbanding 630,000 unit yang diunjurkan oleh MAA.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker