Miliki 4.67kg dadah dijel 30 tahun, 24 sebatan

Oleh – Syeikh Baran


Miliki 4.67kg dadah dijel 30 tahun, 24 sebatan
Roderick Raymond Wan ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Tawau hari ini. -Foto oleh IVAN AMIRUL/KOSMO!

Mahkamah Tinggi di sini hari ini, menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 24 sebatan ke atas seorang lelaki kerana memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 4.67 kilogram (kg).

Roderick Raymond Wan, 22, membuat pengakuan bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Duncan Sikodol.

Lelaki itu didakwa memiliki dadah seberat 1.33kg di hadapan kedai H&W Enterprise, Jalan Stephen Tan di sini pada 25 Mei 2022, pukul 2.10 petang.



Raymond juga didakwa memiliki dadah seberat 3.34kg di bilik sewanya atas kedai Top Well Enterprise, Jalan Sedco Light Industrial, Batu 3, di sini pada 25 Mei 2022, pukul 3.40 petang.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang merupakan penganggur didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.

Selepas mengambil kira fakta kes, kepentingan awam dan merupakan kesalahan pertama tertuduh, Duncan kemudian menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan bagi setiap kesalahan tersebut.

Mahkamah turut mengarahkan hukuman penjara tersebut berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditahan, manakala jumlah sebatan dikekalkan.



Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Suriana dan Hurman Hussain, manakala tertuduh pula diwakili peguam Jhassary P Kang serta Jesseny P Kang.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker