Techlympics 2022 dedah pelajar ilmu mekanikal, elektronik

Techlympics 2022: Millennial Inventor Outreach menarik minat pelajar sekolah beraliran agama mengenai bidang robotik.

 

Oleh Azrin Muhammad



KOTA BHARU – Program Techlympics 2022: Millennial Inventor Outreach anjuran Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Machang, Kelantan mula menarik minat pelajar sekolah beraliran agama mengenai bidang robotik.

Menurut satu kenyataan, program yang mendapat kerjasama pihak industri, Jazro Robotic Academy itu merupakan inisiatif pemerkasaan pendidikan Sains dan Teknologi di bawah FSKM menerusi pendedahan bidang robotik kepada pelajar-pelajar sekolah.

Acara yang sama turut mendedahkan peserta dengan pengetahuan teknologi serta kesedaran tentang kepentingan kemahiran teknologi, khususnya menjelang era Industri Revolusi 4.0 (IR4.0).

Ia juga dapat memberi peluang kepada peserta di kawasan Pantai Timur untuk mendapatkan pengalaman mengendali komponen mekanikal dan elektronik serta meningkatkan kemahiran pengaturcaraan melibatkan robotik dan mikropengawal.



Terdahulu, program berkenaan dimulakan dengan Fasa 1 selama dua hari di Sekolah Maahad Syamsul Maarif (Lelaki), Labok; Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Quraat, Pulai Chondong; Maahad Syamsul Maarif (Perempuan), Pulai Chondong dan Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas.

Pelajar Diploma Sains Komputer dan Sarjana Muda Teknologi Maklumat telah ditugaskan menjadi fasilitator sepanjang penganjuran Program Techlympics 2022: Millennial Inventor Outreach untuk memudahkan proses perkongsian ilmu teknologi robotik termasuk pengaturcaraan.

Sementara itu, UiTM dan Jazro Robotic Academy telah merancang penganjuran Fasa 2 dalam masa terdekat dengan fokus kepada sekolah-sekolah di negeri Kelantan dan seluruh Pantai Timur.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button