Teruja lihat koleksi Sultan

Iskandar Puteri: Kerabat Diraja Johor terutama Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar cukup terkenal dengan koleksi kenderaan peribadi di Malaysia yang bersifat eksklusif dan tidak pernah dilihat di tempat lain.

Ribuan pengunjung Pameran Kembara Mahkota teruja selepas Sultan Johor berkenan mempamerkan 16 kenderaan yang digunakan baginda secara rasmi sepanjang penganjuran program Kembara Mahkota Johor (KMJ) sejak 2000 di Festival Majestic Johor (FMJ) 2022 di Puteri Harbour, di sini.

Pengarah Tourism Johor, Suhairi Hashim berkata, pihaknya mengetengahkan 16 kenderaan yang pernah digunakan baginda dan anakanda-anakanda sepanjang penganjuran program KMJ sejak tahun pertama diadakan pada 2000.

Beliau berkata, antaranya motosikal yang turut dipamerkan termasuk jenis Harley Davidson, edisi Road King Asian Tiger.

Menurutnya, kenderaan lain termasuk sebuah bot, empat unit Morgan, sebuah lori Mack, tujuh motosikal berkuasa tinggi, dua karavan, kenderaan pacuan empat roda dan sebuah bas di ruang pameran berkeluasan 40×80 meter.

“Pameran Kembara Mahkota menjadi tarikan utama dengan mencatat kunjungan 135,628 pelawat sepanjang festival berkenaan yang diadakan mulai 8 hingga 18 September lalu.

“Ia turut menerima kunjungan daripada penduduk dari seluruh negara selain pelancong asing dari Russia, Korea, Jepun, Indonesia dan Singapura.

“Pameran berkenaan terkawal termasuk semua pengunjung berhemah ketika bergambar kenangan mahupun menonton koleksi dipamerkan,” katanya.

Kerani swasta, Siti Nur Irin Fitriah Nur Dickey, 19, berkata, sebelum ini dia hanya berpeluang melihat kenderaan digunakan baginda secara rasmi KMJ di program di televisyen atau di media sosial.

“Saya sebagai peminat sukan pemotoran tidak dapat menggambarkan perasaan gembira selepas melihat koleksi eksklusif baginda.

“Sudah empat kali saya berkunjung ke pameran ini bagi menyaksikan koleksi kenderaan yang dipamerkan dengan lebih dekat dan saya percaya setiap satu kenderaan memiliki kenangan tersendiri dan tidak ternilai.

“Ia berikutan kenderaan berkenaan pernah meredah pelbagai pelusuk tempat di seluruh Johor termasuk darat mahupun laluan laut bagi mendekati dan menyelami kehidupan masyarakat berbilang bangsa.

“Sekurang-kurangnya pameran ini dapat mengubati kerinduan orang ramai terhadap program KMJ kerana kali terakhir KMJ diadakan pada 2019,” katanya.

Sementara itu, penduduk Pasir Gudang, Emma Ramlan, 43, berkata, perasaan ingin tahu terhadap cita rasa kenderaan Sultan Johor antara faktor dia dan ahli keluarga hadir ke pameran berkenaan.

“Sultan Johor sentiasa berkongsi minat baginda, saya berasakan koleksi yang dikongsi ini dan turut pernah digunakan ketika KMJ dekat di hati baginda.

“Sebagai anak Johor saya tidak mahu melepaskan peluang sebegini kerana tidak datang selalu,” katanya.

Antara koleksi motosikal berkuasa tinggi yang dipamerkan termasuk Harley Davidson Road King Special Flinstones, Harley Davidson Soft Tail Deluxe Coronation Edition, Harley Davidson Electra Glide Standard Police dan Harley Davidson Road King Asian Tiger.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker