Sasaran satu emas realistik

KUALA TERENGGANU: Kem judo negara menyasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas pada temasya Sukan SEA edisi ke-32 di Kemboja yang bakal membuka tirainya Jumaat ini.

Pengurus pasukan, Marjan Abdullah menegaskan, sasaran itu adalah realistik memandangkan kuasa judo pada Sukan SEA edisi ke-31 iaitu Vietnam selain Filipina pastinya mahu mempertahankan kutipan pingat emas yang dimenangi.

Bagaimanapun jelasnya, beliau turut mencabar atlet judo kebangsaan agar dapat memperagakan aksi terbaik dalam sukan tempur itu untuk memburu lebih banyak kilauan pingat sekali gus bakal menjadi penanda aras baharu buat kontinjen negara selepas hanya membawa pulang dua pingat gangsa pada edisi terdahulu di Vietnam.

“Pada edisi lalu di Vietnam, kita gagal meraih pingat emas, cuma dapat dua gangsa selepas dimonopoli atlet tuan rumah dengan kutipan sembilan pingat emas diikuti Filipina dua emas dan masing-masing satu emas dirangkul kontinjen Indonesia dan Thailand.

“Jadi sasaran kita untuk merangkul sekurang-kurangnya satu emas menerusi atlet yang berguru di Jepun iaitu Amir Danial Abdul Majeed dalam kategori lelaki 73 kilogram (kg) dilihat lebih realistik selain sasaran satu pingat perak menerusi Kamini Sri Segaran.

“Bagaimanapun selain dua sasaran pingat itu, kita turut mencabar tujuh lagi atlet yang beraksi dalam temasya dwitahunan itu membawa pulang pingat tanpa sebarang warna walaupun sedar kuasa judo Asia Tenggara iaitu Vietnam bakal mendominasi sukan itu selain Thailand dan Filipina.

“Kita meletakkan harapan yang tinggi agar sasaran kita itu tercapai walaupun pastinya saingan sengit bakal dilalui atlet negara dalam sukan tempur itu,” ujar Marjan yang juga bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker